BAGAN SERAI - Malaysia tidak akan terjejas sekiranya kerajaan Myanmar menyekat rakyatnya datang bekerja di negera ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata tindakan Yangon itu tidak memberi impak khususnya kepada sektor pengeluaran domestik negara memandangkan Myanmar bukan sumber utama bekalan tenaga kerja asing.
"Sumber utama tenaga pekerja bagi Malaysia adalah dari Bangladesh, Indonesia dan Kemboja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Hala Tuju Koperasi Bela Rakyat Malaysia (Kobera) di Bukit Merah Laketown Resort di sini hari ini.
Pada Isnin, Kementerian Imigresen Myanmar menerusi satu kenyataan mengumumkan pemberhentian pengeluaran lesen kepada rakyatnya yang mahu bekerja di Malaysia.
Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata pihaknya belum menerima notis rasmi daripada kerajaan Myanmar yang melarang rakyat negara itu bekerja di Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Hamzah yang juga Anggota Parlimen Larut meminta koperasi di negara ini memanfaatkan sepenuhnya perniagaan secara dalam talian untuk memasarkan produk mereka bagi memperluaskan rangkaian masing-masing.
"Anggota koperasi terbabit juga perlu dilatih semula bagi membolehkan mereka menggunakan internet untuk memasarkan produk.
"Ada sesetengah koperasi tidak mempunyai satu produk pun dan mereka boleh menjalinkan perniagaan secara dalam talian bagi mencipta (memasar) produk," katanya.
Mengenai Kobera, Hamzah berkata ketika ini terdapat 300 buah sedang beroperasi di seluruh negara sejak 2008 tetapi hanya 151 yang kekal aktif.
"Sebab itu pendapatan koperasi terbabit yang aktif hanya RM3 juta tahun ini dan ia merupakan pendapatan yang sangat kecil," katanya. - Bernama