PULAU PANGKOR: Kepelbagaian unsur dalam sebuah karya puisi berupaya menambah ‘rasa’ dari sudut persembahan dan tidak hanya berada di takuk yang sama.
Para pencinta, juga pejuang seni kini mulai sedar akan keperluan itu, bukan sahaja mencipta kelainan, bahkan membuka mata masyarakat tentang keindahan puisi.
Itulah pandangan Timbalan Yang DiPertua Majlis Kebudayaan Negeri Perak merangkap Yang DiPertua Majlis Teater Perak, Mohd Yusop Najmi Othman.
“Puisi boleh dibuat macam-macam variasi… kalau kita baca sahaja dengan bait yang panjang sudah tentu semua pun rasa bosan sebab hambar.
“Ada deklamasi dengan intonasi naik turunnya, supaya ada penekanan dan menarik untuk didengar. Semuanya perlu dipelajari dengan lebih lanjut,” kata Mohd Yusop atau lebih dikenali sebagai Abah dalam bidang yang diceburinya.
Beliau berkata demikian kepada Suara Perak sejurus membuat persembahan di Festival Lagu Rakyat negeri Perak di Arena Pangkor.
Unsur DEKON Dan MESTAMU
Ujarnya lagi, perubahan positif yang ditunjukkan menerusi karya anak-anak muda di negara ini amnya wajar diberikan pengiktirafan.
“Generasi Y kini mula mendekati trend puisi yang lebih moden dengan mempelajari DEKON yang bermaksud Deklamasi dan Lakonan serta Melagukan Sajak Tanpa Muzik (MESTAMU).
“Anak-anak muda di Perak khususnya, lebih menonjolkan diri di hadapan khalayak seperti puisi jalanan…kadangkala DEKON yang kebiasaannya dilakonkan dua atau tiga orang pun mereka boleh buat secara solo,” jelasnya.
PULARA Wajar Dicontohi Negeri Lain
Menurutnya, kejayaan kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan YAB Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry dalam menganjurkan festival PULARA wajar menjadi ikutan negeri lain.
“Tidak ada salahnya jika semua negeri di Malaysia anjurkan festival sebegini, bukan kita nak berlawan satu sama lain, tapi dapat mewujudkan persaingan sihat dalam bidang ini,” katanya.
Jelas Mohd Yusop, nilai sesebuah karya itu kebiasaannya diukur melalui keberkesanan mesej yang membawa lebih daripada satu makna kepada seseorang individu.
“Puisi atau sajak yang terbaik adalah ia tidak bermaksud satu andaian sahaja, dalam erti lain kita mahu andaian itu pelbagai dan tidak menjurus kepada satu makna,” katanya.