KUALA KANGSAR: Polis berjaya menahan dua penjenayah dikehendaki yang cuba melarikan diri selepas insiden kejar-mengejar di Taman Bunga Raya, di sini pada awal pagi Jumaat.
Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta penjenayah selepas pemandunya cuba melanggar kereta peronda polis (MPV) ketika cuba melarikan diri.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Kangsar, ASP Nor Azliy Abdul Razab berkata, kira-kira jam 5.20 pagi, unit rondaan MPV polis mengesan sebuah kenderaan jenis Proton Saga hitam dalam keadaan mencurigakan di lampu isyarat Kg Talang.
Anggota polis kemudiannya mengarahkan mereka berhenti untuk melakukan pemeriksaan.
"Bagaimanapun, pemandu berkenaan terus memecut memasuki laluan bertentangan dan cuba melarikan diri ke arah lebuhraya sehingga polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan.
"Dua buah unit MPV datang membantu dan dua penjenayah berusia 18 dan 34 tahun ditahan selepas tembakan kena tayar kereta itu, menyebabkannya hilang kawalan lalu merempuh tiang elektrik berhampiran Kilang Kayu Talang," katanya ketika dihubungi Suara Perak.
Polis turut menemui tiga paket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 8.69 gram, methampetamin seberat 0.95 gram dan satu foil pil Eramin 5.
Nor Azliy berkata, siasatan lanjut mendapati remaja berusia 18 tahun itu mempunyai lapan kesalahan lampau melibatkan kes dadah, harta benda dan kekerasan manakala rakannya mempunyai lima rekod kes lampau.
Menurutnya, ujian awal air kencing kedua-dua lelaki yang berasal dari Taiping itu didapati positif dadah jenis methampetamin.
"Kes ini berjaya diselesaikan atas keberkesanan pasukan MPV di bawah Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).
“Kami juga berharap masyarakat akan sentiasa membantu menyalurkan sebarang maklumat untuk membanteras gejala dadah habis-habisan," ujar beliau.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) akta yang sama.