top of page
muinsapidin

Mengagumi Bangsa Melalui Puisi

PULAU PANGKOR: “Kita sering mengagumi dan melihat bangsa lain lebih bagus hingga kita selalu mencari kesalahan bangsa sendiri”.

Demikian ulasan Ketua Perhimpunan Sasterawan Budayawan Negara Serumpun (PSBNS), Dr. Free Hearty dari Jakarta, Indonesia yang juga merupakan salah seorang peserta PULARA.

Jelasnya, tema yang diangkat menerusi karya puisi bertajuk ‘Senja di Orchard Road’ hasil tulisannya sendiri berkisarkan kecintaan kepada bangsa.

“Kita serumpun di benua seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei… bangsa Melayu itu sebenarnya ada kelebihan dan ingin saya katakan bahawa ke mana sahaja kita pergi… kita samA.

“Kenapa kita mencari-cari kehebatan di sebelah dunia lain seperti di barat itu… semuanya hebat padahal kita yang harus membesarkan bangsa sendiri, negara sendiri dan orang-orang kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Perak di Seminar Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa, (PULARA) Pangkor 7 “Bahasa & Persuratan Melayu Merentasi Zaman” di Dewan SMK Pangkor, Pasir Bogak.

Puisi Bukan Sekadar Suka-Suka

Katanya, puisi kini sudah mendapat tempat di hati orang ramai selain penyertaan menggalakan daripada generasi muda.

“Dengan adanya media social, lebih memudahkan mereka (anak muda) untuk mencipta puisi setiap hari, soal kualiti kita letak ke tepi dulu kerana minat untuk mendekati puisi itu sendiri sudah bagus,” ujarnya.

Menurut Dr.Free Hearty, puisi turut menjadi pengantara dalam menyampaikan pesanan dan perasaan kepada semua peringkat.

“Bercerita dengan orang belum tentu dia mampu menyimpannya, berbeda dengan puisi yang ditafsirkan sebagai tempat curahan hati.

“Menulis puisi itu terapi jiwa di mana anda boleh melepaskan kemarahan, kekecewaan dan harapan,” katanya.

Bahasa Lebih Mudah

Beliau turut mengakui bait-bait puisi atau sajak kini lebih mudah difahami berbanding suatu masa dahulu yang disifatkan sebagai klasik.

“Sekarang gaya penulisannya lebih bebas dan moden, tidak ada lagi syarat yang memerlukan ia perlu berbentuk begini dan begitu.

“Bahasanya lebih mudah dan tidak ada lagi kata-kata yang sangat sulit dengan metafora berbunga-bunga.

"Tetapi buat mereka yang menghargai puisi walau apapun gayanya…mereka tetap mencintai apa jenis karya sekalipun,” jelasnya yang juga Ketua Wanita Penulis Indonesia (WPI).

Dalam pada itu beliau menganggap penganjuran PULARA sebagai satu pendekatan untuk menyatukan pelbagai negara.

“Saya selalu menemukan kejutan luar biasa di PULARA, tetamu yang datang juga semakin melebar dan kita sama-sama dapat mengembangkan bangsa Melayu,” katanya.


30 views0 comments
bottom of page