LUMUT: Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA) anjuran kerajaan negeri mendapat pengiktirafan berprestij daripada Kongres Penyair Sedunia (WCP) sebagai acara yang mesti dihadiri pada setiap tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kehadiran peserta dan negara dalam program berteraskan kesenian itu turut meningkat secara positif sejak penganjurannya tujuh tahun lepas.
Katanya, jika tahun-tahun lalu, terdapat hanya tujuh negara sekitar ASEAN selain India dan China yang menyertainya, namun sambutan tahun ini amat memberangsangkan.
“Apa yang mengejutkan adalah sebanyak 20 negara mengambil bahagian pada PULARA kali ini dan walaupun kali pertama datang, mereka akan datang lagi bersama keluarga.
“Ini memenuhi matlamat program untuk secara tidak langsung menjadi pintu masuk kepada masyarakat antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Persuratan Bahasa Melayu Merentasi Zaman di SMK Pangkor, Pasir Bogak pada hari kedua Festival PULARA.
Dr Zambry berkata, Perak secara amnya dan PULARA khususnya, kini sudah tercatat di kalangan penyair bertaraf dunia dan kerajaan negeri akan memastikan perlaksanaannya ditambahbaik secara konsisten tahun demi tahun.
Jelasnya, semua peserta yang mengambil bahagian adalah kelompok masyarakat istimewa yang memanfaatkan festival tersebut sebagai platform untuk bertukar pandangan serta mendeklamasikan puisi kepada semua yang hadir.
"Bila anak-anak seni ini tiba di satu-satu tempat, mereka akan menggunapakai lokasi tersebut sebagai inspirasi untuk berkarya dan Perak adalah salah satu tempat di mana mereka menjadi terpegun dan mendapat tempat di hati mereka," ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Zambry menasihatkan anak muda untuk mengambil peluang menyertai sebarang aktiviti berteraskan kesenian, apatah lagi dengan lambakan karya belia dalam bidang kebudayaan dan kesenian yang semakin unik hari ini.
Katanya, masyarakat perlu menghapuskan stigma bahawa kesusasteraan hanya terhad kepada mana-mana peringkat umur, sebaliknya memberikan dorongan kepada belia untuk menceburi bidang tersebut secara profesional.
"Jangan anggap mereka tak minat, malah beri pendedahan dan sentiasa tarik mereka untuk turut serta dan cetuskan idea masing-masing, inilah masanya untuk belajar daripada penyair bertaraf dunia dan berpengalaman.
"Saya yakin anak muda lebih hebat dan kerajaan negeri sentiasa ada untuk memberikan sokongan bagi mereka, agar sekiranya satu hari, mereka berkecimpung dalam lautan manusia, mereka tetap kenal diri mereka," katanya lagi.