Perak bakal muncul sebagai pusat operasi utama Asia bagi industri memproses batu kapur berikutan kewujudan kilang termoden perlombongan dan pemerosesan bahan mineral itu bernilai lebih USD$100 juta di Batu 3, Temoh dekat Tapah.
Kilang di tanah seluas 34 hektar milik syarikat Belgium Lhoist Group (Lhoist) itu dilihat bukan sahaja dapat menjana ekonomi penduduk setempat tetapi juga kerajaan negeri.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pembukaan plan termoden Asia itu akan memberi pelbagai impak positif dan manfaat kepada negeri.
“Lhoist merupakan pemain industri mineral batu kapur terbesar di dunia dan mereka akan menjadikan Perak sebagai pusat operasi utama mereka di Asia.
“Secara tidak langsung ianya akan mewujudkan peluang pekerjaan yang cukup-cukup banyak untuk penduduk setempat selain pemindahan teknologi dan ilmu.
“Bagi pihak kerajaan negeri pula, kita akan menerima bayaran royalti kerana proses berkaitan pengeluaran bahan mineral ini ada bayarannya yang juga akan diterima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Semua ini merupakan satu sumber pendapatan buat kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas majlis perasmian kilang tersebut pada Khamis.
Turut hadir pada majlis perasmian itu adalah Pengerusi Kumpulan Lhoist, Baron Jean-Pierre Berghmans.
Bagi penjagaan alam sekitar pula, Dr Zambry memberitahu kerajaan negeri telah pun menetapkan syarat ketat yang perlu dipatuhi syarikat terbabit.
“Amat penting untuk industri seperti ini mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan supaya kita dapat memelihara alam sekitar daripada sebarang pencemaran udara dan sebagainya.
“Kita telah pun menetapkan syarat paling ketat bagi mengelakkan perkara itu daripada berlaku dan difahamkan juga Lhoist telah menguna pakai teknologi paling terbaik yang wujud bagi memastikan perkara itu tidak berlaku,” jelas beliau.
Ketua Pengurusan Am Lhoist, Mohd Sarthar Sulaiman memberitahu, kilang automatik sepenuhnya yang dibuka di kawasan seluas 34 hektar itu bukan sahaja berfungsi dalam perlombongan batu kapur dan pengilangan bahan kapur, malah boleh memproses penyediaan batu.
Katanya kilang itu juga berkeupayaan memecah serta mengimbas pengkalsinan batu kapur, penapisan, pembungkusan serta melakukan kerja-kerja pemunggahan.
“Dengan anggaran penghasilan 400 kilo tan kapur dan 1.5 juta batu kapur setiap tahun, kilang ini bakal menjadi hab Lhoist di Asia bagi mengemudi operasi perniagaan sedia ada di rantau ini,” ujarnya.