IPOH: Sebelum ini pandangan kita lebih tertumpu kepada lokasi dan produk yang menjadi ikon pelancongan di Perak, tetapi kini tempat-tempat tidak dikenali (unsung places) diangkat sebagai karya seni oleh pelukis tempatan.
Menurut Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohammed Kamil Shafie, 70 orang pelukis dari negeri Perak berjaya menyampaikan mesej sisi kehidupan setempat menerusi karya yang dilakarkan dari beberapa daerah di negeri ini.
Menurut beliau, tema yang diketengahkan oleh mereka adalah kawasan atau produk yang tidak didendang kepada orang ramai khususnya pelancong dan ada juga yang tidak pernah dipromosikan.
“Selain lukisan, perlu ada penceritaan tentang karya itu, ia termasuk tempat bersejarah, lokasi peranginan, makanan dan adat yang mencerminkan wajah-wajah ‘pior’ Perak,” katanya ketika ditemui di Perasmian Pameran Limpahan Warna Malaysia Community Art Tourism (MCAT) 2016 di Muzium Darul Ridzuan di sii, pada Selasa.
Hadir sama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Nor Janati Ibrahim dan Pengarah Bahagian Media Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Alizam Hasan.
MCAT 2016 adalah program yang didukung oleh Balai Seni Visual Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, Muzium Darul Ridzuan, Persatuan Pelukis Perak dan Tourism Perak.
Pameran itu turut menghimpunkan lukisan hasil pelukis di negeri Perak dengan memaparkan kawasan tidak didendang di sembilan buah daerah di negeri ini, bersempena Tahun Melawat Perak 2017.
Dalam pada itu, Alizam menjelaskan karya lukisan yang dipamerkan di muzium itu menampilkan teknik cat air dengan menggambarkan keadaan sosio-ekonomi dan keadaan masyarakat setempat.
“Di setiap negeri ada komuniti pelukis masing-masing, lakaran yang diketengahkan ini merupakan peringkat paling nipis dan orang ramai mudah faham dengan mesej yang ingin disampaikan,” kata Alizam.
Beliau memberitahu, terdapat cadangan untuk mewajibkan setiap hotel mempamerkan lukisan tempatan tetapi ia masih lagi di peringkat perbincangan.
“Ia satu cadangan yang terbaik untuk kita perkenalkan tempat-tempat menarik kepada pengunjung hotel yang ramai, khususnya pelancong, namun ianya masih lagi dalam peringkat cadangan,” katanya.
Antara koleksi karya seni yang dipertontonkan kepada umum di muzium itu ialah Manong From Above (Kamil Shafie), Simpang Ara Panjang (Hamidon Ahmed), Bot Terbakar Di Tasik Banding (Sahanuddin Yusof), Setelah Kemarau Panjang (Mhd Nor Osman) dan Ayor Buah (Shahrul Nizam Shaari).
Pameran dibuka kepada orang ramai dari 6 November- 31 Disember 2016 bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.