MANJUNG: Bilangan mangsa banjir di Perak telah menurun kepada 76 orang yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Agama Rakyat Kg Padang Serai, di sini. Penolong Pengarah Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak, Mejar (PA) Kamal Jakarinah berkata, setakat jam 11.30 pagi Selasa, 18 keluarga masih ditempatkan di pusat berkenaan.
Menurut beliau, jumlah tersebut terdiri daripada 18 lelaki, 23 wanita dan bakinya adalah kanak-kanak. “Buat masa ini, cuaca masih lagi mendung dengan paras air kira-kira 0.25 meter dan pihak kami akan melakukan pemantauan setiap masa di kampung yang berkenaan,” katanya ketika dihubungi. Sementara itu, Mejar Kamal memberitahu, keadaan banjir yang melibatkan 9 keluarga di Kampung Pengkalan Ara, Teluk Intan telah pulih sepenuhnya. Sehubungan itu, kata beliau, Pusat Pemindahan Sementara di SK Pengkalan Ara, Labu Lubong di sini akan mula ditutup sepenuhnya bermula pada 1.30 petang Selasa. "Semua penduduk terlibat telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dengan bantuan pihak APM dan RELA," katanya lagi.