SUNGAI SIPUT: Kerjasama melalui Chinese – Asean International Touring Assembly (CAITA) dilihat mampu melonjakkan lagi sektor pelancongan Perak, lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2016.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkafly Haron berkata, sektor pelancongan yang dijalankan dengan usahama sistematik juga mampu menjadi platform utama kepada hubungan diplomatik di antara negara-negara ASEAN.
Menurut beliau, kerjasama di antara negara-negara berkenaan boleh diperkukuhkan dengan menggunapakai sektor pelancongan secara efisien sebagai pengantara kepada inisiatif murni itu.
Beliau yakin kerajaan negeri sentiasa menyokong perancangan kerajaan Pusat untuk memperluaskan peluang perniagaan dan menjana ekonomi setempat khususnya bersama dengan negara China.
“Delegasi dari China dan wakil 10 negara ASEAN ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan di antara negara serta rakyatnya, malah ia boleh menjadi pintu kepada perhubungan perniagaan di peringkat antarabangsa.
“Kita sebenarnya mengambil saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini melakukan persefahaman perniagaan di China,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas meraikan kedatangan delegasi itu yang melakukan lawatan di Karai pada pagi Selasa.
Sementara itu, wakil Caita 2016, Thomas Ma berkata, semua peserta dalam delegasi itu gembira dengan sambutan yang diterima semasa melawat Jambatan Victoria. Menurutnya, ini kali kedua beliau datang ke Bandar Diraja Kuala Kangsar dan sambutan pada tahun ini berbeza berbanding tahun lepas kerana ia turut disertai lebih ramai penduduk kampung.
“Bandar Kuala Kangsar ini penuh dengan bangunan warisan daripada pelbagai kaum dan agama, malah seolah-olah “dipeluk” oleh kehijauan alam, pemandangan seperti ini susah nak ditemui di China kerana semua pihak mengejar pembangunan tanpa memperdulikan nilai sebenar sejarah ini,” ujarnya.