IPOH: Perhimpunan Solidariti bagi memperingati Etnik Rohingya di Masjid Sultan Azlan Shah di sini malam tadi bertukar sedih apabila apabila rakaman video kekejaman pasukan keselamatan Myanmar ditayangkan di khalayak jemaah.
Lebih memilukan apabila kira-kira 300 warga etnik Rohingnya yang hadir pada perhimpunan itu menangis melihat tayangan video yang memaparkan kezaliman pasukan keselamatan Myanmar membakar rumah, membunuh dan merogol wanita yang tidak berdosa di beberapa buah perkampungan yang diduduki etnik itu sejak sekian lama.
Beberapa warga rohingya yang ditemui di majlis itu sebak dan menangis sambil merayu kerajaan Malaysia dan negara-negara Islam lain campurtangan segera bagi menghentikan kekejaman dan kezaliman ke atas bangsa mereka.
Kebanyakkan mereka sudah tinggal di Perak antara selama dua hingga enam tahun menceritakan kesedihan mereka kerana mengenangkan nasib ibubapa abang, kakak dan adik-adik serta sanak saudara yang masih tidak ketahui sehingga kini berikutan operasi penghapusan etnik Rohingnya yang dilancarkan pasukan keselamatan Myanmar baru-baru ini.
Yahaya Hussain, 22, yang berasal dari perkampungan Arkan Mondo, Myanmar dan bekerja sebagai buruh di pasar borong Ipoh, menzahirkan rasa sedihnya kerana sudah terputus hubungan sejak dua bulan lalu dengan ibu bapanya serta lima adiknya akibat tindakan kejam pasukan keselamatan Myanmar.
"Saya sedih kerana terputus hubungan dengan keluarga saya di kampung sejak dua bulan lalu dan saya amat bimbang sama ada mereka masih hidup atau tidak kerana tindakan zalim tentera Myanmar ini.
"Saya merayu dan meminta Malaysia dan negara-negara Islam campur tangan bagi menghentikan kekejaman yang dilakukan tentera Myanmar terhadap bangsa kami," katanya.
Seorang lagi etnik Rohingnya, Abd Rashid Kafaitullah, 23, yang berasal di perkampungan Bawli Maungdau, Myanmar berkata, negara-negara Islam tidak harus membisu melihat kezaliman kerajaan Myanmar ini sebaliknya perlu segera campur tangan membantu masyarakatnya bebas daripada keganasan junta Myanmar.
"Keluarga saya ramai yang sudah meninggal dunia, wanita dan kanak-kanak perempuan dirogol kaum lelaki pula dipotong kepala dan ditanam.
"Kami berdoa semoga Allah melindungi masyarakat kami dan kami juga mengharapkan negara-negara Islam dapat membantu menyelamatkan kami daripada kezaliman Junta Myanmar," katanya yang merupakan anak ketiga daripada 10 beradik yang kini bekerja sebagai buruh binaan di Ipoh.