top of page
  • muinsapidin

Perhimpunan Agung UMNO 2016 Luar Biasa - Zahid

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Perhimpunan Agung UMNO 2016 cukup luar biasa dengan memberi penekanan kepada tiga fokus utama - prinsip wala', pemerkasaan parti dan hala tuju Transformasi Nasional 2050 (TN50). Beliau yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, pandangan itu bukan sahaja datang daripadanya, malah turut dikongsi oleh pengamal media dan pemerhati luar.

Menurut beliau, setiap pemimpin mempunyai ujian tersendiri dan yang berjaya semestinya mempunyai daya tahan untuk menghadapi ribut taufan politik dan terus taat kepada parti.

“UMNO bukan semata-mata sebuah parti politik tetapi juga sesebuah institusi social kemelayuan yang penting dipertahankan dan antara yang kuat mempertahannya ialah UMNO Perak,” katanya dalam ucapan pada jamuan malam bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di sini, pada Jumaat malam.

Lebih 1,000 perwakilan dan pemerhati hadir pada majlis itu termasuk bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal.

Zahid berkata, dalam konteks wala’ Perak, walau di peringkat mana sekalipun seorang pemimpin itu, baik pemimpin cawangan, bahagian, mahupun di pusat, mereka mesti taat kepada kepimpinan Dr Zambry.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan prinsip kesetiaan untuk mempertahankan institusi Presiden juga akan membentuk kebersamaan yang menyumbang kepada kekuatan organisasi. Menyentuh mengenai TN50 yang turut diberi tumpuan pada perhimpunan kali ini, beliau berkata, ia sebagai tanda keprihatinan kepimpinan masa kini terhadap masa depan generasi akan datang. "Saya berharap Ketua Pemuda dan Puteri UMNO Perak akan bertemu dengan pemimpin pelajar untuk mendengar pendapat mereka apa yang dikehendaki untuk 30 tahun akan datang kerana mereka sahaja yang memahami apa yang dimahukan," kata beliau. Perhimpunan Agung UMNO 2016 berlangsung selama lima hari bermula Selasa akan berakhir pada Sabtu.


10 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page