BOTA: Umat Islam di Malaysia diseru untuk bersama-sama memberi tekanan kepada kerajaan Myammar menghentikan kezaliman yang dilakukan terhadap etnik Rohingya.
Menurut Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zambri Hashim berkata umat Islam di negara ini perlu sedar bahawa kezaliman yang berterusan terhadap etnik hanya akan mencetuskan tindak balas daripada kumpulan militant seperti Daesh.
Katanya rentetan kedatangan Daesh akan membuka membuka peluang campurtangan asing yang sering dijadikan alasan oleh kuasa besar untuk campurtangan politk di rantau Asean.
"Apa yang dibimbangi isu Rohingya ini jika sekiranya tidak dapat ditangani dan diselesaikan dengan baik ia bakal mengundang kehadiran Daesh sebagai tindak balas terhadap pasukan keselamatan Myanmar yang menzalimi etnik Rohingya.
"Kehadiran Daeh ini pula akan beri peluang negara kuasa besar untuk campur tangan ke rantau Asean ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan majlis pecah tanah tapak bangunan Madrasah Tahfiz Al-Quran Tuan Guru Haji Abdul Ghani di Kampung Seri Kaya, Bota Kiri pada Sabtu.
Zambri berkata justeru umat Islam perlu mengambil iktibar daripada kezaliman tersebut dengan bergerak ke arah memelihara dan mengekalkan penyatuan ummah.
Katanya lagi sekiranya penyatuan ummah ini tidak dipertahankan ia bakal memberi ruang dan peluang kepada negara asing terutamanya kuasa-kuasa besar untuk mencampur tangan urusan diplomatik negara.
Sehubungan dengan itu beliau menasihati umat Islam agar tidak leka dan lalai sebaliknya menjadikan isu penindasan dan kezaliman terhadap etnik Rohingya sebagai isu agama yang perlu pertahan dan perjuangkan.
Mengenai Tabung Bantuan Rohingya, katanya 600 masjid seluruh Perak telah digerakkan untuk mengadakan kutipan mulai minggu depan.
Bangunan Fasa Kedua yang menelan belanja RM2.5 juta itu dijangka memakan masa selama setahun untuk disiapkan.
Sementara itu menurut Pengerusi Madrasah, Ustaz Shihabudin Alang Mat Piah, pembinaan bangunan tiga tingkat fasa kedua madrasah berkenaan akan meliputi 9 buah bilik darjah yang mampu memuatkan 100 pelajar selain akan dibina ruang penginapan dan dewan.