IPOH: Penantian selama 35 tahun pasukan bolasepak IPD Kuala Kangsar akhirnya berbaloi apabila impian untuk menjulang piala pusingan Ketua Polis Perak (KP) menjadi kenyataan.
Pasukan itu muncul juara setelah menewaskan pasukan IPD Hilir Perak dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Perak yang berlangsung petang Khamis.
IPD Kuala Kangsar menundukkan pasukan lawan dengan 4-2 setelah berjaya menjaringkan 2 gol pada permainan penalti setelah terikat seri 2-2 sehingga tempoh perlawanan tamat.
Kapten Mohd Najmin Dali membuka tirai gol pertama pasukan dengan membuat jaringan pertama pada minit ke 55 setelah kedua-dua pasukan masih mencari rentak permainan dalam separuh masa pertama.
Jaringan gol Mohd Najmin memaksa pasukan Hilir Perak membuat tindak balas pantas untuk menyamakan kedudukan gol lima minit kemudian.
Namun ia dibalas dengan gol kedua daripada pasukan Kuala Kangsar dengan jaringan padu daripada Izham Shukri yang membolosi gawang pada minit ke-63.
Perlawanan sengit di antara kedua pasukan utama PDRM Perak ini akhirnya ditentukan dengan penentuan penalti setelah terikat seri dua sama hingga tamat permainan.
Mohd Najmin berkata babak awal permainan melihat kedua-dua pasukan cuba mencari posisi memperkukuhkan pertahanan dan mengekang cubaan jaringan gol lawan.
"Kami cuba mengatur strategi dan melakukan serangan berterusan walaupun berdepan dengan cabaran seperti padang yang licin akibat cuaca hujan pada petang ini.
"Syukur, keputusan berpihak kepada pasukan kami. Dengan jaringan penalti 4-2 dan setelah bermain selama 10 tahun untuk pasukan Kuala Kangsar, lega rasanya melihat Piala KP akhirnya menjadi milik kami,"katanya kepada Suara Perak.
Najmin yang juga merupakan Penjaring Terbanyak Piala KP Perak 2016 berkata pencapaian tertinggi pasukannya adalah ke peringkat separuh akhir di Hilir Perak sebelum ditewaskan oleh pasukan IPD Manjung pada 2012.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abdul Haq berkata semangat pasukannya yang melancarkan serangan bertali arus hingga muncul johan adalah hasil latihan intensif yang konsisten selama sebulan lebih.
"Akhirnya apa yang diidamkan oleh pasukan Kuale (Kuala) menjadi kenyataan,hari ini tercatat satu sejarah dan saya menzahirkan penghargaan buat semua pemain, jurulatih, Ketua Balai, khususnya penyokong-penyokong yang tidak pernah lekang memberi sorakan sepanjang perlawanan hingga ke peringkat akhir.
"Saya sering ingatkan pasukan,alang alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, walaupun letih dengan latihan berterusan selama enam hari seminggu namun inilah hasilnya,"katanya.