KUALA LUMPUR: Pemimpin peringkat akar umbi UMNO jangan menganggap mudah, memandang enteng serta meremehkan gerakan politik kerterlaluan yang dibawa oleh puak-puak pembangkang ini.
Wakil Perhubungan UMNO Perak, Datuk Zolkafly Harun berkata, Perak sendiri telah mengalami pengalaman itu ketika berhadapan dengan pakatan pembangkang yang didominasi DAP.
Menurutnya, wajah DAP yang disolek dengan bedak-bedak kebencian, disembur dengan busuknya niat yang sarat dengan agenda tersirat semakin terserlah.
“Saban masa mereka terus menaburkan kekeliruan serta sentiasa menyemai rasa kebencian, untuk menuai kemarahan,” katanya ketika berucap membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di PWTC pada Jumaat.
Oleh itu, beliau mengajak perwakilan UMNO terus bermuhasabah diri dan jangan terikut-ikut dengan rentak tari mereka kerana dibimbangi akan melupakan agenda yang diperlu diberi keutamaan.
Menurut Zolkafly, membela nasib rakyat, merasai resah dan gelisah mereka serta menawarkan khidmat bakti, perlu terus dibugarkan.
“Sementara kita ingin menarik sokongan, jangan sesekali sokongan orang yang selama ini setia dengan kita diabaikan,” ujarnya.
Beliau berkata, UMNO tidak perlu bersikap apologatik jika berjuang atas nama membela nasib rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, kerana yakin rakyat juga setia bersama UMNO.
“Jangan kerana dakyah buruk yang dilemparkan kepada kita hingga menyebabkan UMNO tidak berani untuk membela nasib ahli-ahli sendiri,” tambah beliau.
Beliau juga yakin bahawa pemimpin di peringkat akar umbi sentiasa siaga untuk bergerak menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), seperti yang dilaungkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, beliau berharap tidak ada kalangan pimpinan di mana mana peringkat sekali pun, membuat angkara yang akhirnya merencatkan keyakinan rakyat kepada UMNO.
“Belajarlah daripada sejarah, kKejatuhan sesuatu ketamaddunan, jika tidak kerana masyarakatnya yang bersengketa, ia berlaku dek kerana pemimpinnya yang semakin alpa,” kata Zolkafly.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput menyifatkan Ucapan Dasar Presiden, khususnya mengenai gelombang politik tanah air, ibarat membangunkan yang terlena dan menyedarkan yang alpa.
“Mana tidaknya, dengan pelbagai mehnah politik yang berlaku pada masa kini, ia telah membentuk dimensi politik yang tidak terjangkau dek fikiran.
“Rentetan derasnya arus gerakan politik matlamat menghalalkan cara, politik tiada batas tata susila, politik kebencian bermaharajalela, yang dipelopori oleh pembangkang telah menyebabkan ada yang kewalahan mencari jalan keluar,” kata beliau.
Beliau melahirkan kebimbangkan kemungkinan politik sebegini adalah trend atau corak politik dunia yang sedang diacu oleh mereka yang berkepentingan.