KUALA LUMPUR: Memperjuangkan agenda umat Islam di peringkat global dan kebangsaan perlu merentasi idealogi dan batas politik. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, umat Islam di negara ini tidak mengira fahaman politik, seharusnya mengambil pendekatan bersatu dalam memperkasakan agenda berkaitan agama.
"Sebagai contoh PAS dan UMNO akan duduk bersama-sama menentang keganasan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya. "Apakah ianya salah umat islam bersatu? Adakah ianya satu dosa besar untuk kedua-dua parti duduk bersama dalam isu ini? "Ianya bukan soal UMNO atau PAS atau pun mana-mana parti, tapi paling penting ianya melibatkan nasib serta keadaan umat Islam atas sifat kemanusiaan yang kita ada," katanya. Beliau berkata demikian dalam sesi temu ramah bersama Sinar Harian sebagai menjawab soalan adakah sokongan yang diberikan secara bersama antara PAS dan UMNO dalam menentang keganasan terhadap etnik Rohingya merupakan indikator kerjasama politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Dr Zambry menambah, tidak sepatutnya UMNO atau PAS dituduh bersatu dalam hal itu, hanya kerana agenda politik semata-mata serta survival parti masing-masing. Beliau berkata, walaupun ada pihak yang menuduh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diberi rasuah oleh UMNO dan sebagainya, itu fitnah yang dilakukan oleh penipu-penipu yang tidak mahu melihat Islam bersatu. "Penfitnah ini akan melakukan apa sahaja kerana mereka tidak boleh biarkan penyatuan ummah berlaku kerana itu akan membimbangkan pihak-pihak tersebut, oleh sebab itu juga mereka perlu mengagalkannya dengan pelbagai cara termasuk fitnah," ujarnya.