UMNO tidak gentar untuk menghadapi parti serpihan yang diwujudkan oleh bekas-bekas pemimpin tertinggi parti itu, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata, walaupun kepimpinan parti serpihan itu mengetahui selok belok dan gerak kerja UMNO namun sifat UMNO yang dinamik akan mengatasi cabaran tersebut.
"Ya saya akui walaupun mereka merupakan parti DNA UMNO, tahu selok belok kita dan bersama-sama menyusun strategi parti tidak lama dahulu, tapi landskap politik selalunya berubah dan kita sentiasa mengubah strategi kita.
"Mungkin mereka tahu segalanya dari menyusun strategi sehingga mempertahankan kerusi, namun sejarah telah membutikan UMNO tetap menang walaupun melawan parti serpihannya," katanya dalam sesi temuramah bersama Bernama TV di PWTC, Kuala Lumpur pada Rabu.
Temuramah itu diadakan bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung dari 29 November sehingga 3 Disember.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bagaimana UMNO menghadapai cabaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diwujudkan oleh mantan-mantan kepimpinan UMNO sendiri.
Tambah Dr Zambry, kedinamikan UMNO yang sentiasa berubah mengikut keadaan membuatkan lawannya sukar untuk membaca atau mengatasi parti keramat tersebut.
"Kedinamikan UMNO yang sentiasa berubah dengan pantas akan membuatkan mereka tidak tahu apa langkah terkini yang akan diambi oleh UMNO dalam menangani pelbagai isu yang dilontarkan.
"Kita perlu ingat kerana sebarang strategi yang dibuat itu sentiasa diukur melalui cabaran yang dihadapai ketika itu, kita tak sentiasa menggunakan strategi yang sama," ujarnya.
Dr Zambry yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut menegaskan UMNO tidak akan membiarkan atau memandang enteng sebarang ancaman yang dibuat terhadap parti termasuk dakwaan mengatakan pemimpinnya tidak memperdulikan keluh kesah rakyat khususnya berkaitan kenaikkan kos sara hidup.
"UMNO tidak sesekali akan membiarkannya tanpa sebarang tindak balas, dari mata kasarnya mungkin nampak begitu tetapi kita memandang serius dan kita berbincang bersama-sama seluruh kepimpinan.
"Resah rakyat, masalah rakyat berkaitan ekonomi dan pelbagai lagi isu tidak boleh katakan UMNO buat "dek" sahaja, kita ambil peduli cumanya cara kita berbeza dan tidak sama dengan pembangkang.
"Kita tak paparkan kesemuanya," jelas beliau.