KUALA LUMPUR: Kalangan pemimpin UMNO negeri Perak menyifatkan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah antara yang terpendek dalam sejarah parti tetapi padat dan tegas.
Menurut mereka, Najib juga terus mengulangi peringatan mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke – 14 (PRU14) dengan merapatkan saf parti demi agama, bangsa dan negara.
Ketua UMNO Bahagian Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, ucapan dasar Najib kali ini agak luar biasa kerana berterus terang mengenai bahaya sekiranya ahli UMNO dan orang Melayu tidak bersatu.
“Beliau menekankan soal kesetiaaan dengan memberi contoh perjuangan di zaman Rasulullah S.A.W di mana pengikut-pengikut Baginda terus setia walaupun menerima pelbagai ancaman dan pancaroba,” katanya kepada Suara Perak pada Khamis.
Sehubungan itu, kata Samsudin, ahli UMNO dan orang Melayu juga perlu sedar bahawa selepas 70 tahun, UMNO terus berjuang untuk agama, bangsa dan negara, tanpa mengenepikan kepentingan kaum-kaum lain.
“Orang Melayu harus sedar, melalui pelbagai agensi seperti MARA, RISDA, FELCRA dan sebagainya, nasib dan keistimewaan kita terus terbela dan ini semua tidak ada di dalam perlembagaan DAP,” ujarnya.
Ketua Wanita UMNO Kampar, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi pula berkata, Najib mengingatkan ahli-ahli parti untuk menggerakkan jentera bagi hadapi PRU14, baik dari segi gerakan kerja, mahupun kemantapan jati diri ahli-ahli perlu diberi keutamaan.
“Kita harus teruskan dengan meyakinkan rakyat bahawa kita adalah parti yang terbaik untuk landasan memperjuangkan yang kita ada pada hari ini,” katanya sambil memberitahu, di Perak, UMNO / BN telah mengambil langkah-langkah proaktif sejak beberapa tahun lalu, di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut beliau, UMNO / BN Perak akan bergerak sehaluan dengan apa yang dikehendaki oleh peringkat pusat, bagi memastikan bukan sahaja untuk mempertahankan kemenangan tetapi juga menambahkan kerusi pada PRU14.
Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mohd Ali berkata, ahli-ahli UMNO mesti memainkan peranan untuk bersama-sama menangkis segala tohmahan, bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada kepimpinannya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed pula berpendapat, apa yang paling penting ialah menyelesaikan unsur-unsur pengkhianatan dalaman parti.
“Bagi saya, masalah besar parti bukanlah daripada pembangkang tetapi dari dalaman kita sendiri, oleh itu penyelesaikan unsur-unsur pengkhianatan daripada dalam itu lebih penting,” ujarnya.
Dalam masa sama, kata beliau, Presiden UMNO turut menunjukkan ketegasan kepada parti komponen untuk terus bersama-sama, bukan sekadar ketika menang tetapi yang lebih penting bersama untuk mencapai kejayaan, bukan sekadar menikmati kejayaan.
Ketua Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohamed berkata, ahli parti, perlu mempunyai kefahaman dan keyakinan terhadap perjuangan UMNO.
“Kesetiaan akan hadir jika kita benar-benar faham dan menghayati matlamat pejuangan parti dan UMNO akan terus kukuh walaupun badai menimpa kerana kita mempunyai ramai ahli yang setia.
“Prinsip dan moto bersatu, bersetia dan memberikan khidmat yang terbaik akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO / BN,” kata beliau.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Mohd Kamil Shafie pula berpendapat, kesetiaan kepada parti yang ditekankan Najib adalah wadah perjuangan yang perlu diselusuri oleh ahli-ahli parti.
Dalam pada itu, kata beliau, bagi menghadapi PRU14, seluruh jentera parti perlu bekerja lebih kuat untuk mengekalkan momentum kemenangan seperti yang dinikmati di dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak serta dua pilihan raya kecil di Kuala Kangsa dan Sungai Besar.
“Walaupun pelbagai cabaran, tohmahan serta fitnah yang dilemparkan, namun UMNO / BN masih mampu meraih kemenangan yang besar dan ini ini menunjukkan rakyat sudah matang dan berjiwa besar kerana yakin UMNO / BN adalah wadah perjuangan untuk orang Melayu dan semua kaum,” kata beliau.
Naib Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria pula berpendapat, apa sahaja cabaran daripada DAP dan sekutunya untuk terus `menghentak’ UMNO / BN tidak akan tercapai sekiranya ahli-ahli terus setia kepada parti dan kepimpinan.
“Sudah tentu rakyat memerlukan parti yang kuat untuk terus membela nasib mereka dan TN50 adalah legasi kesinambungan untuk memastikan perjuangan kita hari ini mampu menyediakan landasan yang tepat bagi generasi akan datang,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata Drs Nizar, dalam masa sama, rakyat juga mestilah mengamalkan konsep Tabayyun (mencari pencerahan), tanpa menerima bulat-bulat segala maklumat yang diterima melalui pelbagai media sosial.