KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) diselubungi gelombang biru sempena Majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2016 pada Khamis.
Majlis dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan dan acara menaikkan bendera UMNO di Plaza Merdeka, kira-kira jam 9 pagi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang tiba bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disambut Ketua Pergerakan Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Najib diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ke pentas khas untuk menerima tabik hormat daripada komander perbarisan, Mohamad Akmal Mohd Tajul Ariffin serta 150 anggota ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Presiden UMNO itu kemudian menaikkan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ dengan diiringi nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ oleh para anggota dan hadirin yang menyaksikan acara itu.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin diberi penghormatan untuk memulakan acara perbarisan sempena perasmian perhimpunan agung parti.
Penghormatan itu diberikan sebagai penghargaan atas pertauliahan pangkat Brigadier Jeneral yang diterima Khairy dalam pasukan Askar Wataniah yang berkuat kuasa 14 Jan 2015.
Pada majlis itu, lagu tema perhimpunan pada kali ini ‘Melayu Bersatu’ dinyanyikan oleh kumpulan koir mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Selesai majlis itu, Najib bergerak ke Dewan Merdeka bagi menyampaikan ucapan dasar Presiden sekali gus merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2016.
Seramai 2,762 perwakilan dari 191 bahagian menghadiri perhimpunan tahunan selama tiga hari, sehingga Sabtu ini.