KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Perak meminta pucuk pimpinan parti dan kerajaan Barisan Nasional (BN) melunaskan terlebih dahulu janji-janji yang dibuat ketika Pilihan Raya Umum ke – 13 (PRU13).
Wakilnya, Mohd Iruan Zulkifli berkata, antara yang perlu dilunaskan ialah janji-janji yang diberikan kepada golongan muda, yang telah banyak berusaha untuk memastikan kemenangan pada pilihan raya itu.
Beliau mengakui, terdapat pemimpin yang telah menang, terus hilang dan seolah-olah tidak lagi menganggap pergerakan itu sebagai sayap parti, walhal di dalam ceramah-ceramah pilihan raya sering dibangkitkan 60 peratus pengundi adalah golongan muda.
“Saya mahu bertanya, berapa peruntukan mereka luluskan untuk orang muda, jangan pandang ringan kepada perjuangan orang muda,” katanya ketika membahaskan usul politik pada Perhimpunan Agung Pemuda di PWTC. Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Lenggong turut mengingatkan barisan kepimpinan muda parti bawah perjuangan Pemuda telah berubah dan mereka perlu melihatnya dalam skop lebih luas.
“Merangkumi golongan Wanita, malah Puteri sendiri, mengharapkan sentuhan pemimpin muda dan demi parti ini, kita mesti bantu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Iruan mencadangkan supaya biro Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diperkasakan dan pejabat UMNO perlu menjadi "jabatan" di antara kuasa politik dan manfaat untuk rakyat.
Beliau turut mencadangkan beberapa perkara di dalam perlembagaan parti ditambah baik bagi memastikan mereka yang memegang jawatan benar-benar melaksanakan tanggungjawab dan amanah terhadap jawatan yang dipegang.
Menurutnya, masyarakat perpandangan bahawa menjadi pemimpin dalam parti UMNO adalah masa untuk mengumpulkan kekayaan, sedangkan masih ramai pemimpin yang merintih dan turut terkesan dengan bebanan ekonomi.
“Tetapi demi perjuangan, susah bagaimana pun perlu teruskan perjuangan, ia sebuah pengorbanan besar untuk parti,” kata beliau.