top of page
muinsapidin

2,643 Perwakilan Mulakan Perhimpunan Agung UMNO 2016

KUALA LUMPUR: Seramai 2,643 perwakilan dari 191 Bahagian memulakan Perhimpunan Agung UMNO 2016 dengan dihadiri oleh kepimpinan barisan kepimpinan parti, termasuklah dari pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Dalam laporannya, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa Perhimpunan Agung tersebut bukanlah semata-mata untuk meneruskan perjuangan parti demi bangsa, agama dan negara.

Sebaliknya, kata beliau, perhimpunan itu juga adalah bukti bahawa, UMNO merupakan sebuah parti yang memiliki struktur yang mantap, tersusun, mempunyai Perlembagaan dan peraturan serta patuh pada perundangan Akta Pertubuhan.

Beliau turut memaklumkan bahawa keahlian UMNO telah bertambah kepada 3,573,719 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,653.

“Dalam pada UMNO diasak dan dimomokkan dengan pelbagai kata, keahlian UMNO terus bertambah dan mendapat sokongan dari masa ke masa,” katanya yang memberikan laporan sebelum bermulanya Perhimpunan Agung UMNO 2016 pada Khamis.

Perhimpunan Agung UMNO 2016 itu juga turut dihadiri oleh delegasi luar negara seramai 109 orang, mewakili 27 parti melibatkan 19 buah negara selain kehadiran para penuntut institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara, termasuk 78 perwakilan Kelab UMNO Luar Negara dan 35 orang perwakilan mahasiswa universiti tempatan.

Dalam masa yang sama, Tengku Adnan turut mengajak perwakilan mengalu-alukan Bendahari UMNO yang baharu, Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Said Keruak dan Ketua Penerangan baharu UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam barisan Majlis Tertinggi (MT) UMNO.


16 views0 comments
bottom of page