top of page
  • muinsapidin

UMNO Bawa Pulang Wanita Malaysia Jadi Kaldai Dadah Di Peru

KUALA LUMPUR: Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) akan berusaha untuk membawa pulang tujuh rakyat Malaysia yang telah menjadi mangsa sebagai kaldai dadah di Peru.

Pengerusi BKUM, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan berusaha untuk membawa balik tiga wanita yang telah menjalani hukuman penjara sejak antara 2 ½ - 6 ½ tahun.

Mereka ialah Syzlin Hathaman dari Johor, Nor Suzana Azmi (Kuala Lumpur) dan Noor Azimah Sapie (Negeri Sembilan).

Menurut beliau, usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Badan Perhubungan UMNO Johor dan Wilayah Persekutuan di samping Kedutaan Besar Malaysai di Peru.

“Segala usaha yang kita jalankan akan mengikut proses undang-undang di Peru dan Malaysia supaya ia tidak menjejaskan hubungan kedua-dua negara,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, selain daripada tiga mangsa itu, pihaknya juga akan berusaha untuk membawa pulang empat lagi mangsa yang sedang dalam pelbagai peringkat proses, termasuk ada yang sedang menjalani proses parol dan ada yang masih dalam perbicaraan.

“Mangsa bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi semua bangsa dan kerana kita UMNO turut mengambil kira isu rakyat,” ujarnya.

Shamsul Anuar berkata, pihak BKUM menjangkakan anggota misi akan berlepas ke Peru awal Januari tetapi, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negara itu.

Menurut beliau, kos untuk membawa pulang kesemua mereka akan ditanggung bersama oleh biro dan kedua-dua UMNO Johor serta Wilayah Persekutuan.


24 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page