KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Perak bersedia menyahut cabaran Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid untuk membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke – 14 (PRU14).
Ketuanya, Khairul Shahril Mohamed berkata, Pemuda Perak sentiasa bersiap siaga bagi memastikan kemenangan UMNO / Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu kelak.
Bagaimanapun, kata beliau, parti-parti komponen juga mestilah perlu lebih memahami akan kepentingan kebersamaan, khususnya dalam menangani isu-isu BN.
“Pemuda juga mengalu-alukan usaha mengenengahkan lagi calon muda dalam PRU14 nanti,” katanya kepada Suara Perak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan perasmian serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang disempurnakan Zahid pada Selasa malam.
Khairul Shahril berkata, ucapan Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu cukup padat dengan penekanan terhadap halatuju negara di masa akan datang, khususnya dari aspek kesiapsiagaan generasi muda.
Menurut beliau, ia perlu bagi memastikan negara berada dalam keadaan cukup baik dari aspek kesejahteraan dan kestabilan kehidupan dan kestabilan politik negara.
“Kebimbangan itu amat berasas kerana politik membenci yang diterapkan oleh pembangkang semakin menular di dalam diri anak muda, yang akhirnya akan menjadikan negara kita dalam kedudukan membahaya.
“Hingga akhirnya menghasilkan generasi yang mengamalkan sikap sekular dan radikal,” tambahnya.
Sehubungan itu, kata beliau, Pemuda Perak amat bersetuju bahawa tindakan lebih tegas perlu terhadap mereka yang terlibat dalam perkara itu, khususnya terhadap amalan demonstrasi jalanan untuk tujuan menumbangkan kerajaan.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohamed berkata, ahli-ahli Puteri tidak boleh berada di dalam zon selesa, lebih-lebih lagi dengan wujudkan musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan seperti yang dibangkitkan oleh Zahid.
“Sebab itu, Puteri Perak akan sentiasa terus bekerja dan menjaga nama baik UMNO kerana hanya melalui pendekatan dan gerak kerja sahaja, kita mampu menangkis tomahan kononnya UMNO sudah tidak relevan,” kata beliau.