KUALA LUMPUR: Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, bukan mudah tanggungjawab Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk memastikan BN terus kekal menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke – 14 (PRU14) akan datang.
Mengulas mengenai Taklimat Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberikan tumpuan kepada pilihanraya, Dr Zambry berkata, beliau telah melaksanakan pelbagai gerak kerja selama ini.
Antara gerak kerja itu ialah program permukiman yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu, lebih-lebih lagi selepas PRU13.
“Sewajarnya kena turun ke akar umbi, kena menyentuh hati dan minda rakyat untuk kita mencapai kemenangan, tidak ada jalan pintas maka itulah jalan yang sebaik-baiknya,” katanya selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Selasa malam.
Perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dr Zambry menganggap penjelasan Najib ketika majlis taklimat adalah suatu kupasan yang baik kerana Perdana Menteri telah menjelaskan perkara-perkara yang menjadi tandatanya di kalangan ahli-ahli parti.
Beliau berpendapat, penerangan itu cukup jelas dan yakin dalam hal-hal tertentu, terutama yang berkaitan suasana politik, krisis dan persoalan yang ditimbulkan dari bekas pemimpin, telah dijelaskan.
Menurutnya, peringatan berkaitan persiapan dan pendekatan UMNO untuk mengadakan pilihan raya, khususnya soal calon, merupakan satu kaedah yang baik dan UMNO menggunakan pendekatan baru dengan memperingatkan lebih awal bahawa hanya mereka yang dapat diterima oleh rakyat berpeluang menjadi calon.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, Perak bertuah kerana telah berjaya mengharungi pengalaman mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.
“Dalam konteks pemilihan calon di PRK Parlimen Kuala Kangsar, semangat kesatuan yang ditekankan, selain jentera parti yang kuat dan mantap telah kita buktikan,” katanya.
Dr Zambry bersyukur kerana berkat sokongan dan dokongan Presiden UMNO yang sentiasa bersama memberi pandangan untuk dilaksanakan di peringkat negeri.
Ditanya mengenai harapan bagi menghadapi PRU, terutamanya di Perak, Dr Zambry berkata, “Insha Allah, saya yakin kalau sekiranya kita dapat menyentuh hati dan perasaan rakyat di bawah”.