ALOR PONGSU - Derita kesempitan hidup memaksa seorang warga emas tinggal di rumah usang dimakan anai-anai berakhir apabila dia sekeluarga dapat menduduki rumah baharu yang ditaja Felcra.
Terpancar kegembiraan di wajah warga emas berkenaan, Habsah Yusof,84, selepas menerima kunci rumah baharu dibina di bawah program tanggungjawab kebajikan sosial Felcra Perak diserahkan yang diserahkan oleh ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.
Sham (tengah) menyempurnakan simbolik penyerahan kunci rumah baharu kepada wakil keluarga Habsah (dua kanan) sambil diiringi Anuar (kiri)
Habsah yang mengalami masalah keuzuran dan kurang penglihatan menyatakan kesyukuran yang tidak terhingga dengan keprihatinan semua pihak terhadap masalah yang dihadapi olehnya sekeluarga.
"Alhamdulillah penantian selama ini berakhir dan terima kasih kerana membantu saya sekeluarga dengan memberikan rumah ini.
"Perasaan sekarang ini rasa sangat seronok kerana selama ini terpaksa tinggal di rumah yang telah dimakan anai-anai dan kalau boleh, saya hendak berpindah ke rumah baharu secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu Tiga, Changkat Lobak.
Turut hadir Pegawai Felcra Daerah Kerian, Anuar Abdul Hamid.
Habsah berkata, pihaknya mengemukakan permohonan bantuan rumah bina baharu kepada Sham sejak lebih setahun lalu setelah terpaksa menumpang di rumah salah seorang daripada enam anaknya berikutan keadaan rumahnya tidak selamat.
Sham (duduk kanan) berbicara dengan Habsah (duduk kiri) setelah menyerahkan kunci rumah baharu kepadanya di Kampung Batu 3, Changkat Lobak kelmarin
Menurutnya, pemerolehan rumah baharu ini dianggap satu hadiah paling mahal dalam hidupnya.
Sementara itu, Sham menegaskan pihaknya berusaha menguruskan permohonan bina baharu rumah Habsah setelah terkesan melihat keadaan rumah asal terlalu usang dan tidak lagi selamat diduduki akibat dimakan anai-anai.
Menurutnya, kos pembinaan sebuah rumah bina baharu diterima Habsah bernilai RM33,000 dan ditanggung sepenuhnya Felcra.
"Dengan kemudahan rumah baharu, saya berharap Makcik Habsah dapat menjalani kehidupan lebih ceria.
"Saya turut berterima kasih kepada Felcra di atas usaha berterusan membantu golongan rakyat memerlukan di Parlimen Bagan Serai,"katanya.
Habsah (duduk kiri) tidak dapat menahan sebak sebaik menerima kunci rumah baharu daripada Sham(kanan)
Sham berkata, sepanjang tahun ini, Felcra membina baharu sebanyak tujuh rumah, manakala 14 rumah di Parlimen Bagan Serai dibaik pulih agensi itu.
"Bagi keseluruhan inisiatif membina dan membaik pulih rumah rakyat, sejumlah 71 rumah berjaya dibaik pulih dan dibina baharu melibatkan keseluruhan Parlimen Bagan Serai..
"Kos membaik pulih dan membina baharu itu ditanggung Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan(YBUDR)dan peruntukan Adun Alor Pongsu ,"katanya.
Dalam pada itu, Anuar menegaskan sejumlah RM716,528 diperuntukkan Felcra Bhd negeri Perak bagi membiayai kos membina baharu 11 rumah dan membaik pulih 22 rumah di seluruh daerah Kerian sepanjang tahun ini.