KUALA LUMPUR: Ibu kota Kuala Lumpur akan dihiasi satu lagi mercu tanda ikonik apabila kompleks Pusat Dagangan Dunia KL Putra (KL PWTC) yang baharu, siap dibina dalam tempoh empat tahun akan datang. PWTC KL, akan dijelmakan dengan bangunan baharu pejabat dan hotel bertaraf enam bintang di menara setinggi 70 tingkat, yang dilengkapi Dewan Putrade, pembangunan semula Dewan Tun Razak 1 dan 2 menjadi sebuah dewan baharu yang luas dan bertaraf dunia, serta projek menaik taraf bangunan sedia ada iaitu Menara Dato Onn, Dewan Merdeka, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail. Menara 70 tingkat yang akan dibangunkan di atas tapak Hentian Putra itu dengan keluasan lantai 111,484 meter persegi, berhadapan PWTC, akan menjadi ibu pejabat UMNO yang baharu.
