top of page
muinsapidin

Berpuisi tak bermakna 'mat jiwang' - Dr Zambry

Penganjuran program kesenian seperti Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA) merupakan satu pendekatan kerajaan negeri Perak dalam menyemai nilai kemanusiaan tinggi dalam diri masyarakat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata melalui PULARA kerajaan negeri berharap nilai kemanusiaan lebih dihargai justeru menjadikan masyarakat golongan yang kasih mengasihani sesama insan.

Menurutnya dengan berpuisi seseorang individu itu juga mampu cermin diri supaya timbul rasa empati terhadap masyarakat sekeliling serta, alam semulajadi selain memberi perasaan insaf.

"Puisi ini kadang kala tidak diberi perhatian, orang selalu pandang orang berpuisi ini sebagai "mat jiwang", beremosi dan sebagainya.

"Tapi sebenarnya ia bukan begitu, bidang ini lebih daripada beremosi semata-mata, ianya melibatkan sentuhan kemanusiaan dalam diri kita.

"Saya sebagai contohnya seorang ahli politik, lebih kepada bidang ekonomi sekiranya tiada sentuhan manusia ini saya atau ahli-ahli politik lain akan menjadi "keras" sifatnya," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh wartawan di RTM Angkasapuri Kuala Lumpur pada Selasa bagi mempromosikan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA) ke-7 di Pangkor yang akan diadakan pada 8 hingga 11 Disember.

Ini merupakan tahun ke tujuh Perak menganjurkan PULARA.

Tambah Dr Zambry PULARA siri ke-7 kali ini telah mendapat sambutan mengalakkan oleh masyarakat dunia khususnya di kalangan karyawan.

"Setakat ini kita telah menerima penyertaan hampir daripada 20 negara seluruh dunia. Ianya semakin mendapat tempat di kalangan karyawan seluruh dunia, inilah objektif kita dalam memartabatkan budaya serta karya kita di pentas dunia," jelas Dr Zambry.


42 views0 comments
bottom of page