CHANGKAT JERING: Kesan trauma Nor Ziza Hashim, 45 dan lima anaknya yang dihalau keluar berulang kali selama berbelas tahun kerana gagal membayar sewa rumah berakhir apabila berjaya memiliki rumah sendiri.
Wanita cekal yang bekerja sebagai pengasuh itu berkata, dia tidak boleh melupakan keperitan hidupnya ketika diherdik keluar daripada rumah sewa walaupun ketika itu anak sulungya baru sahaja tiga hari dalam pantang selepas bersalin.
Kata Nor Ziza, suaminya hanya memperolehi gaji RM450 sebulan sebagai upah membersihkan kebun manakala dia sendiri hanya mendapat upah RM300 sebulan dengan menjaga anak-anak jiran.
"Bayangkan, waktu itu anak masih bersekolah, saya dan suami mengikat perut dan sanggup tidak makan bagi memastikan belanja sekolah dan dapur sentiasa ada, sampai saya tidak bermaya kerana terpaksa membuat tiga kerja bagi membayar bil api dan air.
"Sewaktu saya diberitahu Ketua Kampung bahawa saya berpeluang mendapatkan sebuah rumah sendiri, saya terkedu dan seakan tidak percaya kerana saya telah menantikannya sejak 30 tahun…akhirnya saya diberikan rezeki hari ini," katanya kepada Suara Perak.
Dia ditemui selepas program Majlis Jalinan Kasih Sempena Pemukiman Menteri Besar Perak di Parlimen Bukit Gantang dan Taiping, di Dewan Air Kuning, di sini pada Jumaat.
Nor Ziza berharap, rumah tiga bilik yang diberikan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menerusi FELCRA itu akan dapat menjadi tempatnya berteduh dengan tenang anak dan cucunya.
Bagi Raimah Aziz, 78 pula, pemberian rumah melalui Projek Bantuan Rumah (PBR) itu memang amat dinantikannya, apatah lagi statusnya sebagai nenek yang sentiasa merindui gelak tawa 23 cucunya.
Raimah berkata, sebelum ini dia tinggal bersama dengan anak sulungnya, namun berasa tidak selesa kerana tidak biasa dengan kehidupan bandar di Ipoh yang jauh berbeza dengan suasana kampungnya di Kg Jebong Kiri, Changkat Jering.
"Lepas makcik dah balik, rindu pula nak berkumpul bersama cucu-cucu tetapi makcik tak nak mereka datang ke rumah pusaka kerana dah usang dan bahaya untuk kanak-kanak.
"Tetapi apabila rumah baru ini siap sepenuhnya nanti, bolehlah cucu-cucu melawat bila-bila masa, itu sahaja yang akan membuatkan makcik gembira, apatah lagi usia dah lanjut ini," katanya sambil mengesat air matanya.
Seramai lapan orang penduduk dari sekitar parlimen Taiping dan Bukit Gantang menerima rumah berkeluasan 20 x 30 kaki persegi yang dibina oleh FELCRA bagi Projek Bantuan Rumah ( PBR).
Penyerahan itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad.
Selain itu, seramai 55 orang lagi menerima rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin ( PPRT) di sekitar tiga Parlimen Bukit Gantang, Larut dan Taiping melibatkan lima kawasan penempatan utama.