TRONG: Wakil rakyat Barisan Nasional diminta tidak mudah berputus asa memberi khidmat terbaik kepada masyarakat dalam apa jua keadaan dan cabaran
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry berkata sebagai wakil rakyat mereka tidak terlepas daripada berdepan dengan cabaran termasuk ada kalanya usaha mereka seolah-olah tidak dihargai rakyat.
Beliau berkata senario sebegini harus ditanggani dengan profesional termasuk memberi penerangan mengenai segala usaha baik yang kerajaan lakukan untuk manfaat rakyat.
“Kita kena sentiasa ceritakan kalau tidak rakyat akan bertanya apa kerajaan dah buat? Keadaan boleh jadi lebih buruk apabila ditambah lagi dengan suara-suara nakal dalam ceramah pihak di sana sini yang bercakap konon apa kerajaan sudah buat untuk rakyat,” katanya.
Dr zambry berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Membudayakan Perpaduan Meraikan Kepelbagaian Sempena Permukiman Di Trong Leisure Farm pada Jumaat.
Menurut beliau, program permukiman di Parlimen Taiping dan Bukit Gantang sebagai contohnya yang melibatkan lebih 90 program pelbagai aktiviti membuktikan kerajaan BN serius dan komited dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.
Katanya, menerusi program yang disusun ini beliau bersama pemimpin komponen BN, ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat turun ke lapangan bertemu rakyat menyelami perasaan dan menyelesaikan permasalahan mereka.
“Kita adakan program permukiman ini bukan untuk bersuka-suka dan berseronok tetapi turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Pada hari keempat permukiman itu beliau telah menunaikan solat Jumaat di Masjid Sungai Tinggi bersama penduduk kampung yang diimamkan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Datuk Dasuki.