KUALA SEPETANG: Didengari, difahami dan diselesaikan.
Itulah impak yang dirasai oleh penduduk di sekitar Bukit Gantang dan Taiping dalam Program Pemukiman Menteri Besar yang kini lebih bertenaga dan menyeluruh pada hari ketiga ia dilaksanakan.
Potensi pelancongan dikenalpasti, permasalahan rakyat di peringkat akar umbi diselesaikan dan penambahbaikan infrastruktur serta pemerkasaan anak muda semuanya dirangkumkan dalam pemukiman yang memasuki siri ke-4 di negeri Perak ini.
Tanpa sebarang jurang dan perbezaan politik, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengetuai barisan kepimpinan kerajaan negeri bersama dengan pelbagai agensi untuk turun padang dan menyelami isi hati rakyat di sekitar Bukit Gantang dan Taiping.
Seawal 8 pagi Khamis, Dr Zambry telah melawat beberapa buah rumah dalam program Ziarah Kasih DUN Kuala Sepetang yang ternyata membuatkan penduduk di situ berasa tersentuh dengan kehadiran pemimpin mereka.
Berkonsepkan pendekatan Padang, Perasaan dan Penyelesaian (3P) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, mungkin ramai yang tidak menyedari program pemukiman yang nampak ringkas dan ala kadar ini sebenarnya telah mendatangkan kesan mendalam buat sesetengah penduduk di Bukit Gantang dan Taiping.
Air mata yang berlinangan dan pelukan erat daripada penduduk kampung dengan kehadiran pemimpin negeri yang sanggup datang mendengar rintihan mereka cukup membuktikan keikhlasan kerajaan negeri dalam pemukiman kali ini.
Setelah bermesra dengan warga emas serta penduduk di sekitar Kampung Hujung Matang, Kg Matang Gelugur serta Kg Ayer Puteh, program seterusnya pada hari ketiga diteruskan bagi golongan memerlukan bersama Yayasan Bina Upaya (YBU).
Manfaat pemukiman yang tidak dapat disangkal lagi apabila Dr Zambry dapat menjalankan sesi walkabout di sekitar Bandar Warisan Taiping di mana beliau dapat mengenalpasti kekurangan dan keperluan penambahbaikan infrastruktur secara lebih dekat.
Pemerkasaan setiap kaum juga tidak dilupakan dengan menyertai program anjuran MIC, Makkal Sakti, Badan Bukan Kerajaan India serta IPF di SMK Simpang pada sebelah petang Khamis.
Menyedari sektor pelancongan sebagai antara sumber pendapatan utama, Dr Zambry juga telah merasmikan Pusat Kegiatan Pelancongan Kg Dew bagi tujuan penaiktarafan keseluruhan kampung yang terkenal dengan produk kelip-kelip itu.
Pada hari ketiga pemukiman kali ini, seramai 230 penuntut beberapa institusi pengajian tinggi turut berpeluang untuk menghadiri latihan Skill@ PeKA di ADTEC.
Dikendalikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan,Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc merangkap Ahli Lembaga PeKA, Datuk Aminuddin Hashim, sesi ceramah motivasi itu ternyata meningkatkan semangat para pelajar dari IPT-IPT berkenaan.
Memfokuskan kepada nilai tambah belia Perak untuk lebih berdaya saing dalam pasaran kerja, rata-rata pelajar berkenaan berasa cukup teruja dengan pendekatan yang tidak melupakan peranan anak muda dalam ekonomi yang semakin mencabar hari ini.
Ternyata, pendekatan untuk Pemukiman Menteri Besar ini sebenarnya amat diperlukan malah dinantikan oleh penduduk di sekitar Taiping dan Bukit Gantang secara keseluruhannya.