KAMUNTING: Kerajaan negeri komited dalam memastikan perancangan Greater Kamunting yang berfokuskan kepada sektor perindustrian akan mencapai sasaran dalam menjana pendapatan penduduk setempat menjelang tahun 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pelan itu akan dapat memberikan impak menyeluruh serta manfaat secara terus kepada penduduk di sekitar kawasan Bukit Gantang, Larut, Taiping serta Kamunting.
Menurut beliau, antara perkembangan terbaru adalah pendekatan kerajaan negeri yang sentiasa memastikan pembangunan serta penaiktarafan Kawasan Perindustrian Kamunting yang dibina pada awal tahun 1970 sentiasa diperkemas dari masa ke masa.
"Kini, kebanyakan syarikat yang berada di kawasan perindustrian itu fokus kepada penjanaan pendapatan dan kerajaan negeri sentiasa bekerjasama rapat untuk memastikan pelaburan yang dibawa masuk oleh syarikat antarabangsa ini dapat menambahkan hasil negeri di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan kita.
"Bagaimanapun, harus diingat bahawa sebarang perancangan berstruktur besar yang dirancang akan menemui kegagalan, sekiranya operasi hariannya tidak mengambil kira mengenai fokus golongan berpendapatan rendah dan memerlukan di sekitar kawasan ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Dialog Bersama Industri di sekitar Taiping dan Kamunting yang dianjurkan oleh Perak Invest, MITI dan UPEN di Bukit Jana Resort, Kamunting pada Jumaat.
ADUN Kamunting itu berkata, kerajaan negeri yakin bahawa limpahan kemudahan yang sentiasa dinaiktaraf di sekitar Kamunting merupakan peluang terbaik kepada pemain industri yang ingin membuat pelaburan jangka masa panjang.
Katanya, Kamunting kini berkembang pesat sebagai salah satu lokasi tumpuan kepada semua lapisan masyarakat dengan pelbagai latar belakang berikutan kos sara hidup yang cukup berpatutan.
"Kita telah berjaya membawa masuk sistem perkhidmatan Rapid Kamunting dan daerah ini merupakan destinasi keempat selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan, selain harga rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat setempat.
"Dengan kemudahan ETS, ia juga dapat menghubungkan Kamunting dengan Pulau Pinang dan KL, sehingga membolehkan ramai belia yang tinggal di Kamunting, bekerja di Ipoh," katanya kepada Suara Perak.
Zahir juga berharap peluang serta kemudahan yang disediakan di Taiping dan Kamunting ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan rakyat.