GOTONG ROYONG ERATKAN SILATULRAHIM...Ahli BAIDURI yang diketuai isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripadah Zulkifli meluangkan masa sepagi bersama kaum wanita Kampung Sungai Tinggi bergotong royong memasak untuk jamuan kenduri rakyat di Masjid Sungai Tinggi, Trong pagi Jumaat.
Jamuan rakyat selepas solat Jumaat itu diadakan bersempena dengan program Permukiman Menteri Besar di Parlimen Taiping dan Bukit Gantang yang berlangsung sejak Selasa lalu.
Isteri Menteri Besar, ahli BAIDURI dan kaum wanita kelihatan bertungkus lumus menyediakan persiapan makan tengah hari bagi lebih 1,000 hadirin yang menunaikan solat Jumaat di masjid itu.
Selain gotong royong, perkarangan masjid meriah dengan aktiviti sejak pagi iaitu Karnival Mahabbah JAIPk, Kuliah Dhuha dan Tausiyyah.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir turut hadir menyertai penduduk bersolat Jumaat.
Hidangan makanan tengahari yang disediakan juga sinonim dengan masyarakat di sekitar Trong seperti Gulai Daging, Kari Ikan Masin Talang dan Nenas, Asam Pedas Keladi, Labu Masak Lemak, Belanak Masin, Ulam-Ulaman dan Sambal.
Persiapan bagi gotong royong ini bermula seawal jam 7 pagi, dan kenduri rakyat bermula selepas jemaah selesai solat Jumaat.