Kejayaan dua atlet paralimpik negara meraih pingat emas di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro September lalu seharusnya dijadikan inspirasi oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam menguruskan pemulihan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini.
Isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli yang juga Dipertua Badan Amal Isteri Wakil Rakyat (BAIDURI) berkata kejayaan mereka membuktikan gologan ini boleh berjaya sekiranya masyarakat dan guru yang melatih mereka berupaya mengenal pasti kelebihan setiap insan OKU.
Katanya kelebihan itu kemudiannya perlu diasah dan digilap sehingga menjadi bakat yang bersinar buat setiap OKU.
“Tak kira apa sahaja, kita perlu bantu kenal pasti potensi yang ada pada diri mereka. Kejayaan dua atlet paralimpik itu membuktikan OKU juga boleh menjadi golongan yang menyumbang kepada masyarakat,” katanya selepas program ziarah ke Pusat Dalam Komuniti (PDK) bersempena dengan Program Permukiman Menteri Besar di Parlimen Taiping dan Bukit Gantang yang berlangsung dari 22 hingga 26 November.
Dalam program, isteri Menteri Besar dan ahli BAIDURI menziarahi tiga pusat pemulihan, PDK Bestari Sungai Tinggi dan PDK Seri Toh Johan di Trong, dan PDK Permata Nilam di Bukit Gantang.
Saripah berkata beliau berbangga melihat perkembangan PDK hari ini yang telah berjaya membawa perubahan sedikit demi sedikit berbanding tujuh tahun lalu disebalik pelbagai kengkangan yang dihadapi.
Katanya peningkatan itu walaupun berbeza-beza mengikut kemampuan setiap PDK, ia terbukti memberi manfaat kepada pelatih-pelatih OKU di bawah penjagaannya.
“Paling mengembirakan saya apabila melihat banyak PDK telah berjaya memperkenalkan satu produk atau kemahiran buat pelatih OKU di pusat masing-masing.
“Dengan latihan bengkel ini, kita berharap pelatih OKU ini mampu memperbaiki kemahiran diri dan seterusnya berdikari suatu hari nanti,” katanya.
Semasa lawatannya, Saripah dibawa melihat bengkel menjahit di PDK Bestari, kraftangan membuat tudung saji dan bakul dari lidi nipah di PDK Seri Toh Johan dan pembuatan bunga telur dan bantal hiasan di PDK Permata Nilam.