TAIPING: Taktik licik yang dijalankan oleh tokan dadah dengan menggunakan remaja bawah umur sebagai pengantara urusniaga perlu dibanteras dari peringkat akar umbi. Malah kegiatan itu dilihat sebagai satu jalan pintas bagi anak muda belasan tahun mendapat upah lumayan setiap bulan, tanpa bersusah payah.
Menurut Penyelia Pendidikan Pencegahan Dadah di Pejabat Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Norehan Yusof, menerusi kes yang pernah dikendalikannya ada pelajar yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak di bangku sekolah.
“Selain menjadi pengantara, anak-anak ini juga diumpan oleh tokan dengan dadah jenis Syabu untuk dicuba kali pertama dan kesan khayalnya cukup memberikan kepuasan pada mereka. “Dadah jenis ini dalam kuantiti 0.2 gram atau 0.5 gram sudah cukup memberikan kesan khayal, namun harganya agak mahal dari RM 60 ke RM 80 mengikut gred atau tempat,” katanya ketika ditemui Suara Perak.
Jelas Norehan, apabila remaja itu sudah tidak mampu untuk menampung kos untuk membeli Syabu akibat kekangan kewangan, maka tokan akan memperkenalkan dadah jenis sintetik iaitu Heroin. “Bila remaja ini sudah mula rasa seronok dengan Syabu dan tidak ada duit, maka ketika ini tokan menjalankan taktik mereka dengan memberi dadah heroin yang lebih murah kira-kira RM 5 satu paket. “Mula-mula memang mereka akan rasa kesan khayal sama macam Syabu tapi lama-kelamaan kuantiti itu tidak mencukupi bagi menyamai rasa yang sama dengan sebelumnya, ertinya tiada kepuasan dan mereka terpaska mendapatkannya dengan harga mahal,” ujarnya. Itulah tujuan sebenar Heroin diperkenalkan kepada remaja bawah umur ini, iaitu untuk mendapatkan pelanggan seumur hidup memandangkan sekali terjebak dengan Heroin akibatnya memerlukan kepulihan seumur hidup.
Norehan menambah, sehingga kini kerjasama di antara PEMADAM LMS dan agensi lain dalam membanteras gejala penyalahgunaan dadah di daerah itu sangat memberangsangkan. “Kita dapat lihat penurunan dari segi penglibatan dan kes, malah seramai tujuh orang telah dihantar ke Cure And Care Service Centre (CCSC) Kampar dan sudah pun pulih daripada masalah dadah. “Malah ibu bapa sendiri secara sukarela hantar anak-anak mereka untuk diuji samada terlibat dengan dadah,sebab itu kita selalu tekankan bahawa jangan tengok pada bilangan tetapi berapa yang dapat dipulihkan” katanya.