BUKIT GANTANG: Seramai 368 petani telah menyertai Program Ladang Kontrak yang dikelola oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di negeri Perak sejak 2007 hingga 2016.
Penolong Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perdagangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Zolkafly Harun berkata, bilangan itu melibatkan 1,104.65 Hektar tanah.
Menurut beliau, ia membuktikan kerajaan serius untuk membantu golongan petani dan pengeluar ini bagi meningkatkan pendapatan mereka.
"Di bawah program ini mereka diberi jaminan pasaran produk-produk yang dikeluarkan serta diberi harga lantai bagi memastikan mereka tidak rugi walaupun harganya mengalami penurunan," katanya ketika di temui selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli antara FAMA dan peserta ladang kontrak di Bukit Gantang pada Khamis.
Pada majlis itu lima petani telah dipilih menjadi peserta program ladang kontrak.
Seorang peserta, Mohamad Kadir, 58, berpendapat, program tersebut merupakan salah satu inisiatif yang amat baik bagi membela nasib petani.
"Sebelum ini memang dah lama saya hendak menanam betik tetapi bimbang sekiranya tak dapat jual atau pun produk saya akan dibeli dengan harga amat rendah sehingga tak pulang modal.
"Tapi melalui program ini, mereka telah memberi jaminan akan memberi produk saya dan yang lebih bagus, mereka juga telah menyediakan harga lantai...itu bermaksud tiada risiko untuk saya memulakan tanaman itu," katanya ketika ditemui Suara Perak.
Norhaslinda Mat Saad, 47, pula memberitahu, program itu secara tidak langsung telah menggalakan petani atau pengeluar mencuba sesuatu tanaman baharu.
"Saya serta suami mahu menanam Rockmelon, kalau kerajaan tak sediakan program seperti ini, memang kami takut nak mulakan...sebab kita tak tahu bagaimana pemasarannya.
"Tapi sekarang lega…tak perlu fikirkan lagi perkara-perkara itu, kami hanya perlu fokus bahagian penanaman, penjagaan dan penyediaan buah itu sahaja," ujarnya.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada Program Permukiman Menteri Besar Perak di Parlimen Bukit Gantang dan Taiping.