Dua anggota polis termasuk seorang pegawai berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, atas tuduhan memperolehi suapan berjumlah RM8,000, dua tahun lalu. Tertuduh, Koperal V Ravi Chandran, 49, dan Inspektor Mohd Faizal Fauzi, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S.Indera Nehru.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama menerima suapan berjumlah RM8,000 daripada K Premnath bagi menutup siasatan narkotik terhadapnya dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Mereka melakukan kesalahan itu antara jam 7.40 dan 7.55 malam di Maybank cawangan Jelapang pada 2 September 2014. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Indera Nehru kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam K Nahtan.