TAIPING: Setelah menunggu hampir setengah abad, Priadh Kaur, 86, akhirnya boleh menarik nafas lega apabila hasrat mendiang suaminya untuk mendirikan sebuah rumah untuk keluarganya, kini tercapai.
Sambil menggenggam erat geran tanah yang diberikan kepadanya, moyang kepada enam cicit dan enam cucu itu berkata, dia tidak sangka berpeluang melihat rumah idamannya itu sebelum pergi selamanya.
Ketika ditemui, Priadh hanya mampu mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada usaha kerajaan negeri yang meluluskan permohohan beliau dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) itu.
"Ketika mendiang suami masih hidup, satu-satunya impiannya adalah kami mempunyai rumah sendiri, dan walaupun kini saya sudah tua dan tidak bermaya, inilah peninggalan terakhir saya kepada anak, cucu dan cicit," katanya sambil mengelap air mata yang berlinangan.
Ibu kepada dua orang anak itu berkata, dia hampir berputus asa untuk mendapatkan geran tanah, namun tekad untuk menunggu bagi menunaikan janjinya kepada suaminya yang pernah bekerja di lombong bijih timah di Taiping.
Priadh adalah antara 24 penerima Rumah Mesra Rakyat di bawah SPNB yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sempena Program Permukiman Parlimen Taiping dan Bukit Gantang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali berkata ,sebanyak 3,900 unit Rumah Mesra Rakyat telah dibina di sekitar negeri Perak setakat ini.
Tambah beliau, buat masa ini, sebanyak 800 unit rumah sedang dalam proses pembinaan manakala sebanyak 1,000 unit lagi sedang melalui proses menandatangan perjanjian bersama bakal pemilik.
"Sehingga hari ini, sebanyak 37,000 unit Rumah Mesra Rakyat SPNB telah siap dibina di seluruh negara dan 5,2000 unit pula akan dibina pada tahun 2017,” ujarnya.
Azizi berkata, pihak SPNB akan memberikan bantuan pembiayaan pembinaan rumah sebanyak RM20,000 manakala selebihnya akan dibayar oleh pemilik dengan nilai bayaran ansuran serendah RM150 sebulan.