top of page
muinsapidin

Perak Terima Teguran Jabatan Audit Negara

Kerajaan Negeri menerima baik teguran Jabatan Audit Negara yang telah membuat saranan berhubung supaya menubuhkan badan kawal selia air negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri memang mempunyai peracangan masa hadapan mengenai pengurusan air dan akan mengambil perhatian teguran yang dibuat dalam laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2.

“Bukan kita tak ada perancangan masa hadapan secara langsung berhubung penubuhan badan kawal selia negeri ini tapi berkemungkinan ianya tidak dilaporkan.

“Tapi saya memilih untuk tidak salah anggap teguran itu. Sekurang-kurangnya ia mengingatkan kita tentang permintaan-permintaan daripada beberapa negeri bersempadan Perak yang berminat membeli air daripada kita,” katanya dalam satu sidang media di Tanjung Malim pada Selasa.

Namun Dr Zambry memberitahu walaupun teguran itu dibuat, Perak menerusi Lembaga Air Perak (LAP) tetap diiktiraf antara syarikat pengurusan air terbaik serta mencatat keuntungan tinggi.

“Dari segi pengurusan air, Perak adalah negeri yang terbaik di mana ianya mempunyai pulangan yang cukup baik dan kita adalah satu-satunya negeri yang mendapat untung bersih lebih dari RM100 juta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan audit itu yang menyebut Perak perlu mewujudkan segara badan kawal selia air bagi meningkatkan pelaksanaan pengurusan di negeri itu.

Menurut laporan itu juga, di antara Februari hingga Mei 2016 terdapat beberapa kelemahan termasuk tiada data atau kajian mengenai permintaan dan bekalan air mentah sebenar bagi kegunaan penduduk, industri, pertanian serta perikanan untuk masa akan datang.

Justeru itu, Dr Zambry berkata kerajaan persekutuan akan mengambil kira dari segi apa yang disyorkan oleh jabatan tersebut khususnya dari segi keperluan air yang kini sangat penting.


30 views0 comments
bottom of page