IPOH- Kerajaan negeri Perak tidak akan berkompromi dengan kegiatan sindiket besar pencerobohan tanah kerajaan dengan memperalatkan petani untuk melindungi kegiatan haram mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry menegaskan Kerajaan Negeri memandang serius soal penerokaan haram terutama yang menggunakan taktik licik bagi mendapatkan tanah secara mudah.
Katanya walaupun kerajaan negeri bertindak tegas, kes-kes tulen seperti petani yang mengusahkan tanah pertanian bagi tujuan sara hidup sejak sekian lama di sesuatu kawasan akan diberi pertimbang sewajarnya.
Kata beliau antara mekanisme yang digunakan kerajaan negeri menyelesaikan isu penerokaan haram adalah dengan mengenakan sistem sewaan melalui agensi atau pun lesen menduduki sementara kepada petani yang terlibat.
"Tawaran ini tertakluk kepada mereka yang mengusahakan tanah itu bagi tujuan sara hidup dan bukan untuk disewa kepada pihak lain,"katanya semasa sesi penggulungan Bajet 2017 di Sidang DUN pada Isnin.
Beliau menjelaskan melalui program pemutihan yang dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian sejak tahun 2009 daripada 77, 365.98 ekar keluasan kasar yang diusahakan secara haram, 61,341.88 atau 70 peratus telah berjaya diputihkan.
"Ia melibatkan 12,268 orang manakala bakinya kini sedang dalam proses penyelesaian kerana masih terdapat mereka yang masih enggan memberikan kerjasama termasuk tidak mahu membayar sewaan mahupun pajakan," katanya.
Menurut Dr Zambry, Kerajaan Negeri sebenarnya responsif dalam soal ini kerana melalui pemutihan ini ada yang menjadi peserta kepada program yang dijalankan agensi kerajaan.
"Ada yang jadi penyewa atau pemajak ada juga yang diberikan hak milik. Sehubungan itu saya berharap jangan ada pihak tertentu yang membakar sentimen bagi tujuan menghasut petani-petani ini," ujarnya.