top of page
  • muinsapidin

Tiada Cadangan Anjur Pakej Poligami Beramai-Ramai

IPOH: Kerajaan negeri Perak tidak ada cadangan setakat ini untuk menganjurkan pakej poligami secara beramai-ramai, seperti yang dilakukan menerusi Program Nikah Jamai’e Syar’ie.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Nizar Zakaria menjelaskan, Program Nikah Jamai’e Syar’ie yang dilaksanakan sejak empat tahun lalu, tidak melibatkan poligami.

Menurut beliau, salah tafsir itu timbul apabila Abu Bakar Hussian (PAS – Titi Serong) mencadangkan supaya program seumpama itu diwujudkan untuk poligami juga.

“Sebenarnya, saya merujuk kepada program Nikah Jamai’e Syar’ie yang telah kita jalankan setiap 16 September sejak empat tahun lalu,” katanya dalam sidang media ketika Sidang DUN pada Isnin.

Terdahulu, semasa menjawab soalan Datuk Mohammad Daud Mohd Yusoff (BN-Selama), beliau memberitahu, program nikah beramai-beramai itu telah dijadikan satu program tahunan kerajaan negeri yang dilakukan pada setiap 16 September sempena Hari Malaysia.

Menurutnya, bermula secara kecil-kecilan pada tahun 2013 yang diadakan di Masjid Sultan Idris Shah II dengan penyertaan 10 pasangan sahaja, dan pada tahun 2014 seramai 38 pasangan telah diraikan sebagai `Raja Sehari’ secara serentak di Masjid Negeri Ipoh dan majlis resepsi dilangsungkan di Dewan Bandaran Ipoh.

Beliau berkata, pada tahun 2015, seramai 60 pasangan telah diijabkabulkan serentak di Majlis Sultan Azlan Shah Ipoh manakala majlis resepsi telah diadakan di Amanjaya Convention Centre Casuaria @ Meru.

“Pada tahun 2016 baru-baru ini, majlis nikah Jama’e Syarie telah diadakan di Masjid Sultan Yusof Izuddin Shah di Seri Iskandar dengan penyertaan seramai 42 pasangan dan majlis resepsit diadakan di Dewan Seri Iskandar,’’ katanya.

Menurut beliau, pada keseluruhannya untuk tempoh empat tahun seramai 150 pasangan telah mengikuti majlis nikah Jama’e Syarie di Perak.

Beliau menjelaskan antara tujuan diadakan program ini adalah untuk meringankan beban kewangan pasangan dan keluarga penganting dalam mengendalikan urusan perkahwinan.


53 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page