IPOH: Dewan Undangan Negeri Perak yang bersidang sejak Selasa minggu lalu meluluskan Enakmen Perbekalan 2017 yang memperuntukan bajet negeri sebanyak RM1.2 bilion.
Selepas dibahaskan oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), enakmen itu diluluskan selepas undi belah bahagi yang menyaksikan semua 31 ADUN Barisan Nasional (BN) menyokong, 23 ADUN pembangkang menolak, tiga ADUN PAS berkecuali dan dua lagi tiada di dalam Dewan ketika pengundian dibuat.
Dua ADUN yang tiada di dalam Dewan ialah Radzi Zainon (PAS – Sungai Rapat) dan Lee Chuan How (DAP – Pasir Pinji) yang ditahan ketika menyertai perhimpunan Bersih 5.
Dewan turut meluluskan Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 dengan beberapa pindaan.
Dua usul juga diluluskan iaitu Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2017 yang memperuntukan RM401 juta untuk perbelanjaan pembangunan di samping usul merakam sembah tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena pelantikan baginda sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong ke-15.