IPOH: Memang menjadi amalan kerajaan negeri mengadakan `road show’ ke seluruh negeri untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat mengenai bajet tahunan yang dibentang dan diluluskan setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, majlis penerangan diadakan di peringkat negeri, daerah dan juga mukim.
Menurutnya, kerajaan negeri amat sedang mengenai keperluan mengadakan siri penerangan itu kerana tidak mahu membiarkan rakyat dikelirukan, diperdaya dan dihasut oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Contohnya, jika dibenarkan hansard ucapan wakil-wakil pembangkang di dewan dibuat fotokopi dan disebarluas kepada rakyat, sudah tentu mereka akan terpedaya dengan segala bentuk tohmahan, kritikan dan angka-angka yang mengelirukan,” katanya ketika menggulung perbahasan di Sidang DUN pada Isnin.
Beliau memberi contoh Datuk Seri Nizar Jamaluddin (AMANAH – Changkat Jering) di dalam perbahasannya dengan penuh perasaan berkata tidak Nampak satu bentuk bantuan yang terus kepada warga Perak untuk berhadapan kenaikan peningkatan kos kehidupan.
Saarani menjelaskan, pelbagai program kesejahteraan rakyat yang dilaksanakan tahun-tahun lalu diteruskan dalam tahun 2017, termasuk program pengupayaan ekonomi rakyat.
Contohnya, bantuan am kebajikan (RM28.89 juta), bantuan pusat jagaan anak yatim (RM1 juta), program bantuan ikhlas bina upaya dan bantuan imarah bina upaya (RM5 juta), bantuan tunai perayaan (RM1 juta), projek rumah PPRT (RM5 juta), mikro kredit (RM4 juta) dan bantuan bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama.
Tidak cukup dengan itu, kata beliau, dengan fakta-fakta yang salah, Nizar cuba menghasut dengan mengungkit kononnya janji Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar belum nampak apa-apapun , termasuk projek Jambatan Manong.
“Satu lagi sebab mengapa pihak kerajaan perlu turun padang memberi penjelasan Bajet 2017 kepada rakyat ialah kerana kita harus mendidik rakyat bersyukur dan berterima kasih, berbelanja ikut keperluan dan kemampuan,” ujarnya.