top of page
muinsapidin

Lori Sayur Masuk Gaung, Kanak-kanak 2 Tahun Terselamat Bapa Maut

CAMERON HIGHLANDS: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun terlepas daripada ketentuan ajalnya apabila dia terselamat setelah lori sayur yang dipandu bapanya terbabas ke gaung sedalam 9 meter berhampiran Kea Farm, Jalan Besar Cameron Highland pada Ahad.

Malangnya, bapanya, Woo Hon Meng,36, maut di tempat kejadian dalam insiden tragik yang berlaku sekitar pukul tiga petang itu.

Kanak-kanak itu yang mengalami pendarahan di mata kanan, luka bibir dan badan selain patah tangan kanan berikutan insiden itu kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid berkata kejadian berlaku apabila lori sayur yang dipandu mangsa dari arah Pekan Brinchang menuju ke Ulu Tenom hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung.

"Ketika sampai di satu jalan sempit lurus dan curam, dipercayai brek kenderaan mangsa tidak berfungsi lalu melanggar bahagian kanan dan kiri tebing bukit beberapa kali.

"Sejurus selepas itu, kenderaan mangsa terjunam ke gaung setinggi 15 hingga 18 meter sebelum tersangkut di sebuah selekoh ,"katanya.

Jelasnya, mangsa dikatakan membawa anaknya yang baru berusia 2 tahun sebagai penumpang dan sedang dalam perjalanan ke kebunnya di Ulu Tenom.

Menurut beliau, brek kenderaan mangsa dipercayai tidak berfungsi berdasarkan kesan pergeselan setelah siasatan lanjut dijalankan.

"Kenderaan mangsa yang terjunam ke sebuah kebun sayur bagaimanapun tidak melibatkan mana-mana kenderaan lain, selain kerosakkan kanvas pelindung sayur.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom bagi bedah siasat dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan,"ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhamad Haziq Hazmi, berkata pihaknya menerima panggilan jam 3.24 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

"Kami terus memeriksa keadaan mangsa dan mendapati beliau telah meninggal dunia.

"Pihak anggota yang tiba kemudiannya menggunakan pemotong hidraulik untuk memotong kerangka lori berkenaan, bagi mengeluarkan mangsa dan anaknya,"katanya lagi.


70 views0 comments
bottom of page