IPOH: Sebarang pemberhentian atau pemotongan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak adalah bergantung kepada keadaan semasa penerima.
Pengerusi Jawatankuasa, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, bantuan JKM dinilai setiap tahun bagi memastikan penyaluran bantuan sampai kepada penerima yang benar-benar layak.
"Kalau bantuan, khususnya kepada warga emas, lagi dititikberatkan disebabkan kadangkala ada umur yang sudah lanjut dan berlaku kematian, tetapi bantuan itu tidak dihentikan dan orang lain pula yang ambil bantuan itu.
"Sebab itu, ada sesetengah kes kita hentikan bantuan dan mengharapkan penerima atau waris jumpa pegawai JKM untuk dinilai semula dari segi penyaluran bantuan," katanya ketika menjawab pertanyaan Abu Bakar Hussian (PAS-Titi Serong) di sesi penggulungan Sidang DUN pada Isnin.
Rusnah menambah, bagi situasi pengurangan bantuan pula, seperti yang dinyatakan oleh ADUN Titi Serong, pemotongan itu dilakukan mengikut perubahan umur penerima JKM.
"Katakanlah seseorang itu mempunyai tiga orang anak dan kita bagi bantuan RM100 setiap seorang, jika berlaku pemotongan adalah disebabkan mungkin salah seorang sudah berhenti sekolah.
"Ataupun sudah melepasi umur 18 tahun, oleh itu kita akan tolak pemberian RM 100 daripada jumlah tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan, jika mana-mana pihak yang ada sebarang maklumat seumpama itu, mereka boleh membawa penerima berkenaan ke JKM untuk penjelasan.