top of page
  • muinsapidin

Audit Keselamatan Kebakaran Lapan Hospital Lama

IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan mengadakan Audit Keselamatan Kebakaran ke atas lapan buah hospital di seluruh negeri yang telah berusia lebih 50 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Intergrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, lapan hospital itu ialah Hospital Batu Gajah, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Hospital Tapah, Hospital Gerik, Hospital Parit Buntar, Hospital Kampar, Hospital Kuala Kangsar dan Hospital Taiping.

Menurut beliau, audit keselamatan kebakaran itu telah pun bermula sejak 17 November lalu.

“Selama ini, semua hospital di negeri Perak memang mengadakan pemeriksaan tahunan untuk memastikan sistem keselamatan kebakaran di setiap hospital mematuhi peraturan keselamatan kebakaran,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Isnin.

Beliau menambah, audit itu dijalankan sekali dengan latihan kebakaran yang wajib dilaksanakan setiap tahun.

Mengenai kebakaran kecil yang berlaku di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) baru-baru ini, Dr Mah memberitahu, kerja-kerja baik pulih panel kepala katil iaitu pembaikan elektrikal, naik taraf sistem gas perubatan dan kerja-kerja sivil telah selesai pada 16 November lalu.

“Wad 5B telah mula beroperasi seperti biasa pada 17 November dan kerja-kerja pengujian elektrikal bagi semua wad di blok yang sama di HRPB akan dijalankan,” ujarnya.

Mengenai kejadian siling runtuh di Klinik Kesihatan Taiping, beliau berkata, ia disebabkan oleh air yang bertakung di dalam `gutter’ semasa hujan lebat.

Menurutnya, tindakan baik pulih dengan membesarkan `outlet’ air limpahan hujan telah siap dijalankan pada hari kejadian, manakala penyelenggaraan dan pembersihan berkala untuk `gutter’ dan paip di klinik tersebut akan terus dipantau.

“Bagi mengelakkan kejadian berulang, bangunan klinik dengan rekabentuk sama seperti Klinik Kesihatan Taiping, pengubahsuaian `oulet’ paip air limpahan hujan dari aras dia akan disambung terus ke `outlet’ aras bumi untuk mengelakkan air bertakung,” tambahnya.


37 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page