top of page
muinsapidin

42 Orang Asli Pos Kemar Dijangkiti Malaria

GERIK: Kesemua 42 Orang Asli Pos Kemar, dekat Hutan Royal Belum telah diserang simptom deman panas, menggigil dan cirit birit hampir dua minggu sebelum mereka disahkan positif malaria.

Pihak Jabatan Kesihatan hanya mula mengesan jangkitan virus telah menular di penempatan itu setelah beberapa ibu bapa membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pos Kemar minggu lalu

Daripada jumlah yang dijangkiti, 22 merupakan kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia 10 bulan manakala selebihnya merupakan kategori dewasa.

Kesemua mereka kini sedang diberi rawatan dan dikuarantin di wad khas Hospital Gerik sejak empat hari lalu (17 November).

Kesemua yang dijangkiti difahamkan dari Kampung Senangin, Kampung Rantau, Kampung Akai sekitar Pos Kemar, yang merupakan penempatan Orang Asli di Hutan Royal Belum.

Penempatan ini hanya boleh diakses dengan bot selama 45 minit dari jeti Tasik Banding.

Tinjauan Suara Perak di Hospital Gerik mendapati pesakit mengalami deman panas dengan sakit badan dan menggigil selama lebih seminggu.

Nor Natasya Jusner, 9, dari Kampung Senangin berkata dia mengalami tidak sedap badan dan sentiasa diserang seram sejuk selama seminggu.

Ibunya, Abung Itam, 38 dia mengambil keputusan membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Pos Kemar setelah melihat anaknya mengadu panas badan dan keadaannya semakin lemah.

"Badannya kadang-kadang sejuk, kadang-kadang panas, dan agak lemah, saya pun mula bimbang. Setelah dibawa ke klinik, dia disahkan positif malaria. Anak saya telah dikejarkan ke hospital dengan menaiki bot dari kampung kami,"katanya ketika ditemui.

Abung berkata, selain Natasya, abangnya, Ridzuan Jusner, 12, turut dimasukkan ke dalam ke wad yang sama pada petang Ahad malah ditempatkan di katil bersebelahan.

Katanya, kedua-dua anaknya itu kini menampakan perubahan positif sejak dimasukkan ke hospital empat hari lalu.

Katanya mereka kini lebih bertenaga berbanding pada hari pertama ketika mereka dimasukkan ke hospital itu.

Sementara itu, Zulkifli Asyil,19 pula langsung tidak mengetahui mengenai penyakit itu malah mengganggap simptom dirinya yang sering menggigil dan kerap cirit-birit selama dua minggu merupakan perkara biasa.

"Saya tak makan pun, saya rasa selalu sakit perut dan waktu tengahari pun, saya berasa sejuk dan menggigil, pada waktu malam pula saya berasa amat panas dan berpeluh secara tiba-tiba tetapi saya fikir ianya hanya sementara.

"Saya hanya tahu dijangkiti malaria setelah saya dipaksa oleh ibu untuk mendapatkan pemeriksaan darah di Klinik Kesihatan Pos Kemar, "katanya yang ditemui sedang berbual dengan rakan-rakannya di dalam wad sama.

Zulkifli berkata beliau berasa selesa dengan layanan yang diberikan kakitangan hospital ketika mendapatkan rawatan walaupun ia merupakan pertama kali dimasukkan ke hospital.

"Harap-harap cepat sembuh dan dibenarkan pulang ke kampung," katanya.


75 views0 comments
bottom of page