top of page
  • muinsapidin

Tun Mahathir Telah Buktikan Jawatan Perdana Menteri, Presiden UMNO Tidak Disenangi Banyak Pihak

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini telah berjaya membuktikan bahawa kata-katanya sebelum ini benar iaitu jawatan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO sentiasa dicemburui dan tidak disenangi banyak pihak.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata Dr Mahathir yang tidak terkecuali daripada berdepan cabaran itu sepanjang 22 tahun mentadbir negara pernah memberitahu dalam Mesyuarat Kabinet dan ucapan Perhimpunan Agung UMNO bahawa serangan dan tentangan kuat yang diterimanya adalah kerana beliau adalah Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO ketika itu.

Menurutnya, senario sama kini terpaksa dihadapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini.

"Dia (Dr Mahathir) telah membuktikan kata-kata dia benar, dan perkara sama berlaku kepada Datuk Seri Najib hari ini, diserang dan dibenci bukan atas sebab peribadi tetapi kerana jawatan yang dipegangnya,"katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas memberikan ucapan dalam Jelajah Penerangan Pimpinan Bersama Akar Umni Negeri Perak di Dewan RTC Gopeng yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan barisan kepimpinan UMNO negeri.

Katanya tindakan Dr Mahathir menyertai Bersih 5 merupakan strategi politik

supaya dirinya diterima pemimpin dan penyokong pembangkang.

Kata beliau Dr Mahathir sedar ketidakhadirannya akan membawa implikasi tidak baik termasuk dipersoal akan keikhlasannya untuk bersama parti pembangkang.

"Bila Mahatir dah tak jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, orang yang dulu menyerang dia kini mencium tangan dia…dia bimbang sekiranya Anwar Ibrahim keluar tiada sesiapa akan melindunginya.

"Kalau dia tidak menyertai mereka, saya rasa dia takut dia akan dimamah, diterajang dan diserang pembangkang, kerana sebelum ini UMNO ada untuk melindunginya,sekarang dia fikir dia nak berlindung pada siapa?,"katanya lagi.

Jelasnya, Mahathir mempunyai rekod menjatuhkan dan mengangkat pemimpin dalam pemerintahan dan cuba menggunakan strategi sama dalam situasi politik Malaysia pada hari ini.

Annuar berkata Dr Mahathir kini menggunakan pelbagai pendekatan berbeza dengan matlamat utama untuk menjatuhkan Najib namun UMNO telah bersedia sepenuhnya untuk meningkatkan iltizam bagi mengekang perkara tersebut.

Sambil menyifatkan Dr Mahathir sebagai seorang individu yang beralih mengikut rentak politik dan bertukar-tukar warna, Annuar berkata Dr Mahathir sentiasa mempunyai perancangan sampingan bagi kepentingannya sendiri.

"Mahathir mahukan seseorang yang boleh diarahkan beliau sedangkan dalam UMNO kita tidak mahu pemimpin yang boleh digunakan sedemikian, seperti boneka inikan pula oleh beliau yang merupakan bekas pemimpin.

"Dalam UMNO, kita memberikan kuasa mutlak kepada pemimpin. Masing-masing mempunyai cara tersendiri mentadbir negara,"ujarnya lagi.


24 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page