GOPENG: Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa UMNO tidak pernah menyokong mana-mana aktiviti yang melanggar undang-undang sedia termasuk perhimpunan anjuran Baju Merah. Katanya, UMNO memegang prinsip tiada sesiapa pun yang terkecuali daripada penguatkuasaan undang-undang negara ini termasuk mana-mana ahli parti yang terlibat dalam aktiviti perhimpunan haram.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan sesetengah ahli UMNO menyertai Perhimpunan Merah di Dataran Merdeka pada Sabtu ini. "Kita berharap tidak ada ahli yang melanggar undang-undang. Kita harus menghormati pihak polis. Mereka tidak mempunyai kepentingan diri dan harus mematuhi rangka kerja tersendiri untuk keselamatan rakyat. "Sekiranya tiada undang-undang maka akan berlaku anarki, dan undang-undang yang digubal di Parlimen perlu dikuatkuasakan dan dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengecualikan sesiapa sahaja," katanya kepada penberita. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas berucap di siri Jelajah Penerangan Pimpinan Bersama Akar Umbi Negeri Perak di Dewan RTC Gopeng yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan barisan kepimpinan UMNO negeri. Tambahnya, beliau tidak menafikan terdapat ahli dan pemimpin UMNO yang ingin menyertai Perhimpunan Merah tersebut tetapi ianya bukanlah sesuatu yang berdasarkan atau mewakili parti politik. Bagaimanapun, Annuar menegaskan bahawa UMNO tidak akan membiarkan mana-mana individu untuk mencabar perasaan parti tersebut dengan membiarkan Bersih 5 berlaku di negara itu dengan begitu sahaja. "Jangan andaikan orang UMNO boleh biar sahaja, UMNO juga ada keberanian dan ini adalah hukum fizik, kalau tak ada Bersih tak ada Baju Merah, kalau tak ada Maria Chin tak ada Jamal. Ditanya sekiranya benar Perhimpunan Merah anjuran UMNO, Annuar berkata perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi isu jika dibandingkan dengan tindakan Bersih 5. "Bersih bukan NGO, ianya sendiri dianjurkan oleh DAP dan parti-parti pembangkang jadi kenapa nak jadi isu kalau ada orang UMNO menyertainya (Perhimpunan Merah)? Ini tidak relevan. "Bersih 5, parti pembangkang siap ada video promo, sampai Tun Mahathir pun dipakaikannya baju dan bercakap di mikrofon, sampai begitu?,"katanya lagi. Tambahnya, apa yang berlaku pada hari ini adalah cabaran yang akan membuatkan UMNO tampil lebih kuat berikutan kesiapsiagaan dan jentera UMNO. "Saya tidak memperkecilkan perkara ini, kerana ianya adalah ujian dan semuanya bergantung kepada iltizam dan komitmen di peringkat akar umbi untuk mengatasinya. "UMNO bukan terdiri daripada kelompok golongan elit, tetapi rakyat yang kukuh, dan lipatan sejarah seawal Dato Onn Jaafar membuktikan kita boleh mengatasi perkara ini, lihat pada kapalnya, bukan pada nakhodanya,"ujar beliau. Menurut Annuar, rakyat kini harus bijak mentafsir setiap kempen politik kebencian dan fitnah yang dikeluarkan pelbagai pihak samada ianya adalah kebenaran atau sekadar untuk menjatuhkan kepimpinan sedia ada.