top of page
  • muinsapidin

Tubuh Pusat Pembangunan Usahawan Perak Amanjaya

IPOH: Kerajaan negeri sedang mengkaji untuk menubuhkan sebuah entiti baru yang dikenali sebagai Pusat Pembangunan Usahawan Perak Amanjaya (PPUP) bagi merancang dan menyelaras semua aktiviti berkaitan keusahawanan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, PPUP bertujuan untuk memastikan semua program berkitan keusahawanan boleh dipantau dan dikoordinasi dengan lebih sistematik, efektif dan efisen.

PPUP juga, kata beliau, akan membantu usahawan merangka hala tuju supaya mereka menjadi usahawan berjaya di peringkat tempatan dan global.

“Untuk jangka panjang, PPUP akan menjadi sebuah entiti yang boleh menyatupadukan semua agensi dan jabatan kerajaan yang membuat pembangunan usahawan secara menyeluruh da menepati sasaran,” katanya ketika menggulung perbahasan semasa Sidang DUN pada Jumaat.

Samsudin memberitahu, penubuhan pusat itu adalah selaras dengan Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Peniaga Kecil 2016 – 2020 yang dibangunkan awal tahun ini.

Menurutnya, berbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan berpandukan kepada pelan strategik itu.

Katanya, usaha-usaha yang dijalankan itu dilaksanakan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, melalui pelbagai program dan skim.

Beliau memberi contoh, program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu yang telah melahirkan 64 usahawan di Perak dengan jumlah jualan hampir RM800,000.

Beliau menambah, tahun ini sahaja, melalui TUBE 3.0, seramai 49 usahawan telah berjaya menamatkan latihan dan diberi geran sebanyak RM15,000 seorang untuk menjalankan perniagaan.

Samsudin turut memberi contoh dua usahawan TUBE yang berjaya iaitu Restoran Sajian Kak Chah di Kuala Kangsar yang dimiliki Mohd Asrul Sarifullah Che Lah yang memperolehi purata pendapatan bulanan sebanyak RM50,000.

Satu lagi ialah Capal Kulit Tradisional milik Abdul Hafiz Sukarman di Taiping dengan pendapatan purata bulanan RM20,000.


63 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page