top of page
  • muinsapidin

Dewan Belia Bukan 'window dressing' - Shahrul

Kerajaan negeri menyuarakan kekesalan terhadap tindakan pembangkang yang 'menghentam' Dewan Belia dan melabelkannya sebagai "window dressing" (pertunjukkan semata-mata).

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Datuk Shahrul Zaman Yahaya berkata, melalui kewujudan Dewan Belia, 80 belia seluruh Perak telah menyampaikan hasrat serta idea mereka untuk pembangunan belia di negeri ini sekaligus memberi peluang kepada golongan tersebut mengambil bahagian dalam pembangunan negeri secara amnya.

"Pada tahun lalu daripada 7 usul yang dibentangkan mereka, tiga daripadanya telah kita guna pakai dan ini merupakan idea belia dan anak-anak kita sendiri, bagaimana mereka boleh katakan ini hanya "window dressing"?

"Baru-baru ini juga diadakan sidang kali kedua, jika dilihat idea serta usul yang dicadangkan mereka amat relevan, mereka menyuarakan isu sebenar, isu semasa dan pandangan mereka secara realiti serta terus kepada kita.

"Dia (Nga Kor Ming) seharusnya memohon maaf terhadap perkataan yang dikeluarkan itu kerana ianya satu penghinaan kepada belia-belia yang menyertai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung bajet 2017 Perak dalam Sidang DUN di Ipoh pada Jumaat.

Ketika dalam Sidang DUN yang berlangsung sejak Isnin lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Nga Kor Ming telah mengkritik kewujudan DB dan melabelkannya sebagai hanya pertunjukkan semata-mata.

Kor Ming turut mengkritik ahli-ahli dewan belia itu kerana ketika bersidang baru-baru ini 15 daripada mereka tidak menghadirkan diri.

"Dia tidak faham pun bagaimana sidang ini berlangsung, untuk makluman Kor Ming SDB bersidang sebanyak dua kali dalam masa setahun dan bukan sekali sahaja seperti didakwa.

"Untuk makluman 13 daripada 15 ahli yang tidak hadir telah pun memberi alasan secara bertulias kepada kita dan tak dapat hadir, manakala dua lagi tidak memberikan alasan tapi kita dah beri surat tunjuk sebab," jawab Shahrul Zaman terhadap kritikkan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk tidak menwartakan Dewan Belia.

"Bagaimana pun saya mengharapkan agar Dewan Belia ini dapat diteruskan di masa-masa hadapan demi kepentingan pembangunan belia dan suara generasi muda didengar oleh pihak kerajaan," katanya.


49 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page