top of page
  • muinsapidin

Bajet 2017 Beri Banyak Kontraktor Peluang

IPOH: Bajet 2017 bagi negeri Perak memberi banyak peluang kepada golongan kontraktor tempatan, baik kontraktor kecil, mahupun yang besar.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharudin berkata, langkah kerajaan negeri meneruskan beberapa projek lama dan memperkenalkan projek baru membuka peluang kepada kontraktor.

Menurut beliau, peruntukan bagi meneruskan projek-projek di bawah Yayasan Bina Upaya (YBU) seperti Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) dan rumah Insan Bina Upaya (IBU) amat dialu-alukan.

“Ia bukan sahaja memberi peluang rakyat keterbawahan untuk memiliki rumah sendiri, tetapi juga memberi peluang kerja kepada kontraktor di Perak, khususnya kontraktor kecil,” katanya kepada Suara Perak.

Di samping itu, kata beliau, keprihatinan kerajaan negeri untuk membina 1,200 rumah kos rendah tahun hadapan juga membuka lebih peluang kepada ramai kontraktor di seluruh negeri.

Bukan itu sahaja, ujar Megat Shahrani, kontraktor besar juga boleh mengambil peluang yang bakal tersedia hasil projek-projek pembangunan mega, seperti pembangunan di daerah baru, Bagan Datoh.

“Dalam hubungan ini, kami memohon jasa baik kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk memberi ruang dan peluang kepada kontraktor tempatan.

“Saya yakin, berdasarkan pengalaman yang ada, banyak syarikat kontraktor bumiputera di Perak yang mampu untuk melaksanakan projek-projek mega,” tambah beliau.

Beliau turut menyifatkan langkah kerajaan negeri menggerakkan semula Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) sebagai usaha yang baik untuk memastikan projek-projek pembangunan yang dirancang, berjalan dengan lancar.

“Saya juga berharap, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini dijemput sama untuk menduduki majlis ini supaya kami juga boleh memberi idea dan maklum balas,” ujarnya.


99 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page